Imigresen hantar pulang lebih 12,000 tahanan tahun ini
NIBONG TEBAL: Seramai 12,380 warga asing yang ditahan di depot imigresen di seluruh negara telah dihantar pulang ke negara masing-masing tahun ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada jumlah itu, 9,606 adalah tahanan lelaki manakala 2,774 lagi merupakan tahanan wanita.
Beliau berkata, untuk tempoh sama iaitu antara Januari tahun ini hingga kelmarin, seramai 11,650 warga asing terdiri daripada 9,479 lelaki dan 2,171 wanita masih ditahan di depoh-depoh berkenaan.
“Terdapat beberapa kategori tahanan di depot imigresen seperti banduan asing yang tamat hukuman penjara dan diserahkan kepada JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) untuk urusan pengusiran ke negara asal.
“Kategori lain ialah mereka yang ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 atau Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta kesalahan-kesalahan imigresen lain yang masih dalam siasatan kes dan tahanan warga asing yang diserahkan oleh agensi penguatkuasaan lain untuk tindakan usir.
“Majoriti PATI (pendatang asing tanpa izin) ini terdiri daripada warga Filipina, Indonesia dan Myanmar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penutupan Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap dekat sini yang beroperasi sejak lebih dua tahun lalu.
Selain depot berkenaan yang akan ditutup secara rasmi tengah malam ini dan diserahkan semula kepada pemiliknya iaitu syarikat Sri Impian Holidays and Recreation Sdn. Bhd., terdapat dua lagi depot sementara dan 18 depot imigresen kekal di seluruh negara ketika ini.
Mengulas mengenai Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, katanya, sepanjang beroperasi, seramai 2,224 tahanan telah ditahan di situ dengan kehadiran 62 pegawai imigresen serta dibantu 32 pegawai RELA.
“Depot ini pada mulanya disewa untuk membantu JIM menangani isu Covid-19 khususnya dalam kalangan tahanan warga asing selain bertujuan mengatasi kesesakan di depoh-depoh lain.
“Dengan pengurangan jumlah tahanan atau PATI ketika ini, maka depot ini ditutup,” katanya yang memberitahu, buat masa ini, dua lagi depot sementara bagaimanapun masih dikekalkan.
Jelas beliau, proses pengeluaran dokumen daripada perwakilan negara asal tahanan yang memakan masa agak lama serta tahanan yang tidak mempunyai keupayaan untuk membeli tiket pulang merupakan salah satu sebab utama tahanan berada lama di depot imigresen.
Dalam perkembangan lain, katanya, sehingga semalam, seramai 27,572 majikan dan 322,182 PATI telah memohon untuk mendapatkan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).
Pelaksanaan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan pewujudan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing diumumkan kerajaan awal tahun ini sebagai sebahagian langkah memenuhi keperluan tenaga kerja asing di negara ini. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source