Kedatangan bulan Rejab adalah antara bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam. Kenapa begitu? Ada apa dengan bulan Rejab sehingga umat Islam msklum tentang kehadirannya? Mengapa bulan Rejab dianggap sebagai bulan haram dan suci? Apa sebenarnya kelebihan yang terkandung dalam bulan Rejab?
Melalui penulisan kali ini, kita akan sama-sama merungkai kelebihan bulan Rejab yang menjadi antara bulan istimewa bagi umat Islam. Bulan Rejab akan disebut-sebut apabila ia tiba kerana menandakan semakin dekat kita dengan bulan mulia Ramadan. Tambahan pula, bulan Rejab merupakan bulan persediaan dan bulan persinggahan buat umat Islam sebelum menyambut kedatangan Ramadan.
Daripada Anas bin Malik telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Imam Baihaqi)
Dalam bulan Rejab inilah seluruh umat Islam akan berusaha sedaya upaya untuk mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadan dengan melakukan beberapa amalan yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan umat yang terdahulu seperti melakukan puasa sunat di siang hari, melakukan qiamullail di malam hari, memperbanyakkkan amalan berdoa, beristighfar dan berselawat serta banyak lagi amalan lain.
Lakukan 3 Perkara ini Di Bulan Rejab
Sebenarnya, selain daripada amalan yang telah dinyatakan di atas, terdapat banyak lagi amalan lain yang boleh diamalkan. Namun, pada kali ini, penulis ingin menggariskan tiga perkara yang boleh dilakukan sebagai permulaan dan sekaligus menjadikan ia amalan yang istiqamah, insyaAllah.
#1- Al-Takhalliy
Al-Takhalliy merupakan satu perkataan Bahasa Arab yang bermaksud mengosongkan dan membersihkan diri.
Apakah cara yang terbaik untuk umat Islam membersihkan diri daripada dosa? Jawapannya senang sahaja, iaitu istighfar. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Apabila seorang mukmin melakukan suatu dosa, maka tercoretlah noda hitam di hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkannya dan beristighfar, maka bersihlah hatinya.” (Hadis Riwayat Nasa’I, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Tirmidzi)
Perbanyakkanlah beristighfar untuk membersihkan jiwa-jiwa yang tidak tenteram dek dosa-dosa lalu. InsyaAllah, Allah akan memadam titik-titik hitam untuk membersihkan hati kita.
Rasulullah SAW seorang insan yang maksum, yang ertinya bebas daripada dosa. Namun, bibir baginda tidak lekang daripada sentiasa beristighfar sehingga 70 kali sehari. Ini dibuktikan melalui sabda baginda, daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Demi Allah, sesungguhnya aku minta ampun kepada Allah (beristighfar) dan bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali.” (Hadis riwayat Bukhari)
Jika baginda yang maksum boleh perbanyakkan istighfar, tidak malukah kita yang sentiasa ringan dalam melakukan dosa, namun bibir berat untuk mengucap kalimah ampun kepada Allah?
#2– Al-Tahalliy
Al-tahalliy juga merupakan sebuah perkataan Arab yang bermaksud mengisi atau memperhiaskan diri.
Perkataan ini membawa maksud, isilah diri kita dengan selawat terhadap Baginda SAW tidak kiralah berapa kali sehari. Baginda SAW merupakan nabi kita yang akan memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak. Oleh hal yang demikian, demi mendapatkan syafaat baginda kita perlulah mengucapkan selawat.
Berdasarkan hadis Nabi SAW, dari Anas bin Malik RA, yang bermaksud: “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosanya) serta ditinggikan baginya sepuluh darjat atau tingkatan (di syurga kelak).” (Hadis Riwayat An-Nasa’i)
Perbanyakkan selawat dan sentiasa melaziminya agar suatu hari nanti, jika anda tidak berselawat, anda sendiri akan merasa janggal kerana meninggalkan perbuatan harian anda.
Dengan berselawat, anda akan mengisi kekosongan jiwa dan cinta anda terhadap kekasih Allah akan bertambah, InsyaAllah.
#3– Bertaqarrub
Bertaqarrub membawa maksud menghampirkan diri kepada Allah SWT. Banyak amalan dan sunnah yang boleh diikuti untuk menghampirkan diri kita kepada Allah SWT, antaranya dengan membaca kalamNya.
Al-Quran merupakan salah satu panduan hidup semua Muslim. Pesan orang tua-tua – pergilah sejauh mana pun kamu dalam hidup ini, tetapi jangan sesekali kamu tinggalkan al-Quran.
Bacalah kalam Allah walau sepotong ayat sehari. Setiap huruf, ayat dan surah yang diturunkan Allah melalui malaikat Jibril kepada pesuruhNya, iaitu Nabi Muhammad SAW mempunyai seribu satu manfaat dan kelebihannya.
Berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Tirmidzi, baginda SAW bersabda, yang bermaksud: “Barang siapa yang membaca suatu huruf saja dari kitabullah, maka seseorang akan mendapatkan kebaikan satu kali, tetapi setiap kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kalinya” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Bayangkan jika sehari anda membaca satu muka surat, sudah berapa banyak pahala kebaikan yang dicatat oleh malaikat pencatat untuk anda.
Di samping membaca al-Quran, biasakanlah membaca tafsir dan maksudnya sekali. Daripada tafsir tersebut, kita akan lebih mengerti ayat Al-Quran yang sememangnya diturunkan untuk panduan kita, sekaligus akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah.
Jika kita membaca al-Quran, maka Allah akan menenangkan hati hambanya serta memberinya pahala dari setiap kebaikan bacaannya. Namun, jika seseorang itu membaca al-Quran dengan memahami maksudnya, maka dia akan merasa dekat dengan ayat Allah itu.
Lazimilah diri anda dengan membaca al-Quran demi mempersiapkan diri untuk menyambut bulan Ramadan.
TZKRH
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source