Isu pengadil: Kelab Liga M perlu sedia berbelanja lebih
PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan kelab Liga Malaysia (Liga M) perlu bersedia berbelanja lebih jika mahu menggunakan khidmat pengadil luar negara bagi mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan mereka.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, setiap pasukan yang mahu menggunakan pengadil import perlu menanggung sendiri kos terbabit.
“Sekiranya ada pasukan yang tidak puas hati dengan prestasi pengadil tempatan, pasukan terbabit boleh memohon untuk menggunakan khidmat pengadil luar negara.
“Namun, bayaran elaun pengadil, penginapan, makanan dan lain-lain perbelanjaan perlulah ditanggung oleh pasukan itu sendiri.
“FAM atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak akan menanggung kos penggunaan khidmat pengadil luar negara.
“Perlu diingat, kos untuk mendapatkan pengadil luar negara adalah sangat mahal dan perbelanjaannya dibayar dengan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$),” katanya.
Sementara itu, Sivasundaram turut mengakui FAM menghormati teguran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dalam memajukan bola sepak di Malaysia.
Katanya, kenyataan Tunku Mahkota Ismail bahawa Badan Pengadil mestilah bebas dan bukannya di bawah FAM akan diperhalusi oleh badan induk bola sepak negara itu.
“FAM sangat menghargai semua teguran dan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail. FAM akan memperhalusi idea baginda berhubung dengan penubuhan badan bebas untuk menguruskan pengadil-pengadil Liga M.
“FAM menerima teguran terbabit dengan hati yang terbuka,” kata Sivasundaram mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Mahkota Ismail menerusi aplikasi X semalam. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source