DinFei hampiri ranking No. 1 dunia
AKSI cemerlang beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada Kejohanan Badminton Terbuka India telah menambah semangat mereka dalam misi mencapai ranking pertama dunia.
Selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 21-15, 13-21, 21-16 di New Delhi kelmarin, pasangan profesional negara itu berazam untuk menempatkan diri mereka di puncak dunia.
Kejayaan itu bukan sekadar menambah koleksi trofi kemenangan mereka, tetapi juga memberi keyakinan lebih tinggi dalam perjalanan mengejar kedudukan No. 1 dunia.
“Kami mempunyai sasaran untuk menang. Saya rasa prestasi adalah matlamat utama kami.
“Jika kami boleh bermain dengan baik, ranking kami pasti akan lebih tinggi daripada sebelum ini,” kata Izzuddin kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kejayaan di Terbuka India meningkatkan motivasi beregu yang mesra disapa ‘DinFei’ itu untuk mencapai matlamat tersebut apabila mengukuhkan kedudukan di tangga kedua dunia apabila mengumpul kira-kira 91.876 mata.
Mereka hanya dipisahkan 3.127 mata dengan beregu No. 1 dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang mengumpul 95.003 mata.
Sze Fei-Izzuddin sedar ranking bergantung kepada prestasi konsisten dan kemenangan dalam kejohanan besar untuk menempatkan diri dalam kalangan pasangan beregu terbaik dunia.
Sementara itu, Sze Fei gembira mereka berjaya keluar daripada pergelutan prestasi ketika tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lalu.
“Kami amat gembira kerana dapat mengatasi segala masalah prestasi minggu lepas (Terbuka Malaysia) dan saya perlu memuji pasangan (Nur Izzuddin), jurulatih serta seluruh pasukan,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah bernilai AS$70,300 (kira-kira RM316,700), manakala pasangan dari Korea itu menerima AS$33,250 (RM149,836).
Bagaimanapun, mereka tidak akan menyertai Indonesia Masters 2025 berlangsung di Istora Senayan, Jakarta bermula esok hingga 26 Januari ini.
Kali terakhir beregu lelaki negara meraih gelaran Terbuka India menerusi gandingan Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari pada edisi 2010.
Legenda perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pula menjadi wakil terakhir Malaysia muncul juara pada 2014 selepas menewaskan seteru dari China, Chen Long 21-13, 21-17.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source