Hatrik Wenzel-Halls gagal bantu Penang FC raih mata penuh menentang Perak
GEORGE TOWN : Penang FC mensia-siakan kelebihan dua gol pada separuh masa pertama apabila hanya mampu seri 3-3 ketika menerima kunjungan Perak FC di Stadium Bandaraya, malam ini.
Dalam perlawanan tersebut, penyerang import kelahiran Australia, Dylan Wenzel-Halls berjaya meledak hatrik, namun, ketiga-tiga gol yang dijaringkannya pada separuh masa pertama itu tidak cukup untuk membantu Penang FC memungut tiga mata penuh.
Pelawat sebelum itu bermula garang apabila terlebih dahulu menguji gawang tuan rumah iaitu seawal minit kedua menerusi rembatan deras oleh bekas pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor yang bagaimanapun, berjaya ditolak keluar oleh penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan.
Tersentak dengan asakan tersebut, Penang FC kembali mengatur gerakan berbahaya dan berjaya menembusi gawang The Bos Gaurus pada minit ke-13 menerusi Wenzel-Halls.
Gol berpunca daripada satu sepakan lambung yang membias selepas terkena seorang pemain lawan sebelum terus menerjah jaring dan gagal diselamatkan oleh penjaga gol pelawat, Muhammad Haziq Nadzli.
Empat minit berselang, Wenzel-Halls terus menggamatkan sorakan penyokong tuan rumah apabila menolak masuk hantaran seorang lagi pemain import Penang FC, Rodrigo Dias untuk gol kedua Harimau Kumbang.
Perak FC bagaimanapun tidak mengalah apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi kapten mereka, Luciano Guaycochea menerusi satu rembatan kaki kiri yang gagal diselamatkan oleh Sikh Izhan pada minit ke-21.
Wenzel-Halls yang juga bekas pemain Central Coast Mariners FC kemudian membuktikan kualiti yang dimilikinya selaku pemain import berbisa apabila merembat kencang untuk gol ketiga pada minit ke-33 sekaligus memberikan kelegaan sementara buat tuan rumah.
Masuk babak kedua, Perak bagaimanapun tampil dengan aksi yang lebih kemas apabila melancarkan serangan bertali-arus ke kubu tuan rumah. Hasilnya, mereka dihadiahkan tendangan penalti pada minit ke-55 selepas Syamer Kutty Abba dikesan cuba menjatuhkan Wan Zack Haikal dalam kotak penalti.
Penyerang Perak, Clayton Da Silva yang diberi tanggungjawab untuk mengambil sepakan tersebut tenang merembat ke arah kiri gawang untuk gol kedua sebelum seorang lagi pemain import iaitu Adilet Kanybekov menambah jaringan buat pelawat pada minit ke-67 sekaligus menjadikan kedudukan 3-3.
Kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan selepas itu untuk memburu gol kemenangan, namun, keputusan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Penang FC terpaksa ‘berputih mata’ apabila gagal meraih tiga mata penuh di laman sendiri walaupun mendahului dengan kelebihan dua jaringan sebelum itu.-UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source