‘Terima kasih Siti, si gadis bergaun merah’
“Terima kasih kerana tidak pernah mengalah, sentiasa tabah dan berusaha,”
Itu adalah kata-kata Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kepada dirinya sendiri di kala usia 16 tahun. Ketika itu, gadis berbaju merah itu sedang berjuang, mahu memahat nama dalam dunia seni penuh ranjau.
29 tahun bumi berputar, tiap mata yang melihat, akan merasa bangga dengan kejayaan yang ditempa satu demi satu oleh gadis muda itu. Ya, keunggulan yang hingga kini tiada berganti. Kekal nombor satu.
Lantas, ketika di usia 16 tahun, sedang sukma muda tegar melawan dunia, dia tetap kekal berjiwa hampa sehingga kini, Tetapi berusaha membahagiakan keluarga, peminat dan dirinya sendiri.
“Bila saya lihat diri sendiri di usia 16 tahun itu, saya lihat ketabahan. Ya, dia tidak mudah mengalah, selalu berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk keluarga, peminat dan industri muzik.
“Kalau dia pada usia itu tidak tabah, mudah mengaku kalah, saya tidak ada di tahap sekarang hari ini. Terima kasih kerana bertahan. Banyak sudah kita lalui, pahit manis kehidupan,” ujarnya memulakan bicara.
Usah kita tanyakan rahsia. Itu sudah beribu kali ditanya. Jangan ditanya tentang apa lagi yang mahu diraih, tetapi tanyalah bagaimana dia mahu menyusun hidup selepas bergelar insan seni paling berjaya tiga dekad lamanya.
Sementelah, dalam beberapa sesi temu bual hatta di atas pentas konsert terbesarnya tahun ini, The Journey Of Sound bersama Judika, pemilik suara buluh perindu ini acap kali memberi bayangan tidak tahu sampai bila akan menyanyi.
Adakah dia sudah bersedia untuk berehat daripada dunia seni suara? Meninggalkan legasi seni yang sudah tiga dekad diwarnakan penuh jaya?
“Saya juga manusia biasa, apa yang akan terjadi ke hadapan ini, saya tidak tahu. Kita hanya merancang dan Allah menentukan. Saya percaya perancangan Allah yang terbaik, saya hanya berdoa dan melalui semuanya dengan ikhlas.
“Saya ada cara saya sendiri bagaimana penglibatan saya dalam seni ini dapat memberikan manfaat kepada orang lain. Apa yang saya doakan adalah kebahagiaan dan kesejahteraan untuk semua.
“Saya ingin meneruskan bakat yang Allah bagi ini untuk membahagiakan peminat-peminat saya dan dalam masa yang sama, saya akan memperkukuhkan perniagaan dan menambah cabangnya,” katanya.
TIDAK MULA SENANG
Jika ditanya, siapakah artis Malaysia paling berjaya 2024, senarai namanya cukup membanggakan. Baik Ernie Zakri, Siti Saleha, Aina Abdul dan ramai lagi, masing-masing berjaya dalam pencapaian tersendiri.
Tidak terkecuali penyanyi nombor satu negara ini. Menjadi penyanyi Malaysia paling banyak didengar menerusi aplikasi Spotify, kejayaan beberapa konsert besar dan kekal Top 500 Muslim paling berpengaruh dunia antara pembuktian kehebatan.
Namun kejayaan diiktiraf dengan penghargaan tertinggi dalam dunia seni, Biduanita Negara menyempurnakan pelayarannya. Lantas, apa lagi yang harus dikejar wanita besi berusia 45 tahun ini?
“Gelaran Biduanita Negara ini bagi saya tanggungjawab dan memberi peranan semula kepada industri seni. Semoga apa yang sahaja yang positif dan dapat memberi inspirasi dapat dijadikan semangat kepada semua yang terlibat dalam bidang ini.
“Saya bersyukur kerana saya tidak bermula senang, saya bekerja keras untuk kerjaya dan Allah permudahkan jalan dan rezeki saya dalam bidang ini. Apa sahaja yang dinikmati ini juga adalah kerana doa-doa anda,” katanya.
Seiring kembara seninya selama hampir tiga dekad, pastinya selain kudrat sendiri, sokongan tidak berbelah bahagi peminatnya, Sitizoner menjadi bahu untuk berpaut tatkala hati lelah melawan dunia.
Saya sendiri pernah bersama Sitizoners menerusi program bersama Siti Nurhaliza, sayang dan cinta mereka terhadap penyanyi itu cukup luar biasa. Merekalah tulang belakang yang juga menjadikan seorang Siti Nurhaliza, Siti Nurhaliza.
“Alhamdulillah, Sitizoners sudah 21 tahun pada 23 Disember 2024. Mereka adalah kekuatan saya, tiang yang memastikan saya teguh untuk terus berada di dalam industri yang sangat mencabar ini.
“Untuk menjadi peminat saya, mereka juga perlu tabah seperti saya. Dan saya sentiasa berpesan dengan filosofi Sitizone yang sudah bertahun-tahun kami ikrar dan pegang. SItizoner sejati akan memahaminya,” kongsinya.
KEMBALI KE ROYAL ALBERT HALL?
Andai soalan konsert Siti Nurhaliza yang manakah ingin saya pergi, pasti jawapan yang meluncur keluar adalah Siti Nurhaliza Live in Royal Albert Hall (RAH) 2004. Ketika itu, saya berusia 15 tahun.
Mana mungkin seorang anak kampung muda mampu terbang ke Kota London untuk menjadi saksi kehebatan seorang bintang seni yang bersinar dengan terangnya ketika itu di pentas berprestij dunia.
Maka saya putarkan soalan, apakah akan ada satu ketika, ibu kepada dua anak ini akan kembali ke RAH?
“Semestinya, impian itu ada. Tetapi segalanya terserah kepada rezeki. Impian saya ke RAH juga bermula dari awal saya menjadi anak seni dan rezeki saya ke RAH pada tahun ke-10 menjadi anak seni.
“Jika ada rezeki ke sana sekali lagi, saya bersyukur dan jika tidak, saya pasti akan terus merancang persembahan konsert lain untuk peminat saya. Itu adalah ‘hadiah’ buat mereka yang sentiasa memberi cinta,” ujarnya.
Jika tidak RAH, sebuah konsert tradisional berskala besar seperti Lantera Timur (2013) harus dilaksana. Seusia Siti Nurhaliza dalam industri seni, satu konsert mega perlu menjadi pembuktikan.
“Konsert tradisional serta konsert 30 tahun merupakan agenda 2025. Konsert tradisional sangat membuatkan saya teruja kerana terlalu banyak perkara boleh dilakukan dalam konsert ini kerana sangat dengan dengan jiwa bangsa dan budaya kita.
“Apa yang penting, saya harus memikirkan modal penganjuran kerana pastinya tradisional memakan belanja yang tinggi dan seterusnya menggarap konsep yang terbaik.
“Konsert Lentera Timur sebelum ini diadakan selama 4 hari di Istana Budaya dengan kehadiran penuh penonton dan konsepnya sangat menarik, saya perlu memberi lebih untuk Lentera Timur 2.0,” katanya.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source