Hannah Yeoh fail rayuan kes saman fitnah Musa Hassan
PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 26 Disember susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Hannah berkata, semua pihak harus menghormati proses kehakiman dan tidak mempolitikkan isu ini.
“Laporan polis akan dibuat terhadap video-video atau mesej-mesej berniat jahat yang mampu menjejaskan rayuan saya.
“Saya menghormati proses kehakiman, namun sudah pasti saya kecewa dengan keputusan tersebut.
“Peguam telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 26 Disember 2024,” katanya.
Jelas Hannah, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memohon agar rayuan ini didengar dengan kadar segera.
Ahli Parlimen Segambut itu memaklumkan, beliau dinasihatkan oleh peguamnya bahawa belum ada alasan penghakiman bertulis penuh yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi.
“Setakat ini, hanya terdapat alasan ringkas yang disenaraikan secara bertulis melalui sistem e-review mahkamah pada 23 Disember 2024.
“Oleh itu, adalah tidak wajar pada peringkat ini untuk membuat apa-apa kesimpulan tentang apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi secara keseluruhannya berserta alasan-alasannya.
“Saya difahamkan bahawa terdapat banyak mesej-mesej dan video-video Whatsapp yang bersebaran di luar sana yang telah mempolitikkan keputusan ini dan memberi gambaran bahawa saya berhasrat untuk memurtadkan orang Muslim dan atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian. Ini tidak benar sama sekali,” katanya.
Tegas Hannah, beliau sentiasa menghormati dan mendukung Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
Terdahulu, Isnin lalu Kosmo! melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Hannah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung dakwaan kenyataan fitnah pada satu forum di sebuah univerisiti empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian selepas mendapati Hannah selaku plaintif gagal membuktikan Musa sebagai defendan mempunyai niat jahat dan kenyataan yang dikeluarkannya itu berunsur fitnah.- KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source