Tiga lelaki cedera ditetak akibat salah faham
KUALA LUMPUR – Salah faham antara sekumpulan lelaki dipercayai punca pergaduhan yang mengakibatkan tiga lelaki cedera ditetak dalam kejadian di hadapan sebuah bangunan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian pada pukul 4.03 pagi itu melibatkan empat hingga lima individu sebelum salah seorang suspek bertindak ganas menggunakan pisau lipat untuk mencederakan mangsa.
“Dalam pergaduhan tersebut, mangsa pertama mengalami luka dan kesan kelar di bahagian lengan kiri, manakala mangsa kedua cedera di bahagian muka sebelah kiri dari kening hingga ke bibir.
“Seterusnya, mangsa ketiga mengalami luka di kepala kanan sehingga memerlukan 10 jahitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, ketiga-tiga mangsa telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta berhampiran.
“Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan lima suspek lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 30 tahun untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurut Sulizmie, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
Jelas beliau, permohonan reman terhadap semua suspek telah dibuat hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.— KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source