Projek selenggara RKAT Kem Perdana Sungai Besi siap 90 peratus
KUALA LUMPUR – Projek penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Perdana Sungai Besi kini sudah mencapai tahap kira-kira 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan ini.
Ketua Pengarah Kompleks Cawangan Perumahan Kem Perdana Sungai Besi, Kolonel Azman A. Rahman, berkata, kerja-kerja penambahbaikan itu telah dimulakan sejak Mei lalu melibatkan peruntukan sebanyak RM9.3 juta.
Jumlah berkenaan katanya, adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM400 juta yang disalurkan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (Mindef) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024.
“Antara penambahbaikan RKAT Kem Perdana Sungai Besi yang dilakukan meliputi kerja-kerja senggaraan elektrikal dan lif, sesalur air, kumbahan, perparitan, infrastruktur dan mengecat,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kem Perdana Sungai Besi, baru-baru ini.
Beliau berkata, peruntukan oleh Kerajaan Madani itu berjaya memanfaatkan warga Kem Perdana Sungai Besi selaras dengan inisiatif Teras Ketiga Plan Strategik Mindef (PSM) iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga Pertahanan.
“Ini merupakan peruntukan terbesar diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuktikan kerajaan, Mindef dan pucuk pimpinan Tentera Darat Malaysia (TDM) komited membela warganya khususnya di Kem Perdana Sungai Besi ini.
“Sebelum ini, kebanyakan rumah yang mereka diami tidak kondusif. Jadi, dengan peruntukan ini kami dapat mengatasi masalah-masalah dihadapi penghuni menjadikan kehidupan mereka dan keluarga lebih selesa serta selamat,” ujarnya.
Sementara itu Ketua Kompleks Cawangan Perumahan Kem Perdana Sungai Besi, Leftenan Kolonel Zamri Majid, berkata, projek penambahbaikan itu berjalan lancar mengikut perancangan dan skop kerja seperti yang dijadualkan.
Katanya, sebanyak 391 unit rumah meliputi tiga blok dan kediaman pegawai yang telah dikenal pasti kerosakannya sejak tahun lalu, terlibat dalam kerja-kerja membaik pulih serta penyelenggaraan.
“Senggaraan menyeluruh melibatkan tiga kawasan iaitu Blok G4 DTAR Jalan Labuan, BPKP 4211 dan BPKP 4210 Jalan Terengganu serta kediaman pegawai di Jalan Teratai.
“Bagaimanapun, tumpuan diberikan kepada Blok G4 kerana keadaannya lebih daif berbanding yang lain melibatkan kos sebanyak RM3.8 juta meliputi 108 unit kediaman,” jelasnya.
Mengulas lanjut katanya, pemantauan sentiasa dilakukan dalam memastikan kualiti kerja-kerja membaik pulih dan penyelenggaraan yang dilaksanakan menepati piawaian.
“Kita ada pasukan pemantau yang terdiri daripada staf sarjan untuk memastikan projek berkenaan dilakukan mengikut skop kerja yang ditetapkan.
“Setakat ini kami berpuas hati dengan perkembangan berkenaan walaupun faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini ada kalanya mengganggu kelancarannya,” tambahnya.
Apa yang pasti katanya, penambahbaikan itu sekali gus meningkatkan imej dan martabat warga ATM di Kem Perdana Sungai Besi tersebut.
Oleh kerana itu, beliau turut berharap agar usaha baik dan keprihatinan kerajaan tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Kawasan RKAT DTAR Jalan Labuan ada 13 blok semuanya, jadi saya harap ia (peruntukan) diteruskan atau lebih lagi bagi tahun-tahun seterusnya. Ia membolehkan blok-blok lain juga dapat ditambah baik dengan lebih sempurna seperti yang kita lakukan di Blok G4,” katanya.
Beliau juga berkata, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Haji Muhammad Huzaimi Sabri amat perihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan anggota tentera dalam aspek keselesaan dan keselamatan anggota serta keluarga di RKAT terutama sekali di Kem Perdana Sungai Besi.
Dalam pada itu, salah seorang anggota yang akan mendiami Blok G4 RKAT DTAR Jalan Labuan, Koperal Mohd Hafiszudin Mohd Hairi, 36, bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan pihak kerajaan dalam memastikan mereka mendapat penempatan yang lebih selesa dan selamat untuk diduduki bersama keluarga.
Beliau turut menyifatkan penambahbaikan tersebut menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk berkhidmat kepada negara.
“Unit sebelum ini ada masalah perpaipan dan elektrikal, jadi risau juga nak tinggalkan keluarga apabila keluar bekerja atau terlibat operasi.
“Terima kasih kepada kerajaan, Mindef, ATM dan TDM kerana prihatin terhadap kebajikan kami dan keluarga,” katanya.
Isteri Mohd Hafiszudin, Nor Azwa Sazni Mohamad Zaini, 36, pula berkata, dia bersama anak-anak teruja untuk berpindah ke unit yang telah dibaik pulih itu sekali gus mengurangkan kerisauan tentang keselamatan terutamanya ketika suaminya keluar bertugas.
“Kami mempunyai empat anak yang sedang membesar berumur lima sehingga 13 tahun. Kini sudah tidak risau lagi kerana semuanya ditambah baik dengan sempurna dan tiada lagi kerosakan atau kebocoran perpaipan,” ujarnya.
Bagi Lans Koperal Mursyid Syahidi Khalid, 28, penambahbaikan berkenaan bukan sahaja membolehkan lebih banyak unit RKAT boleh didiami, malah menjadi perkara yang menggembirakan dirinya selepas tujuh tahun berkhidmat dengan ATM.
Ia lebih bermakna berikutan dia yang baharu tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Nordiana Khairul Anuar, 28, dan berharap peruntukan berkenaan diteruskan supaya RKAT ini sentiasa dapat ditambah baik serta diselenggara secara berkala.
“Kediaman sebelum ini lebih sempit dan banyak kerosakan. Kerap juga berlaku kebocoran paip dan masalah elektrikal. Unit yang sudah ditambah baik ini bukan sahaja selesa malah lebih luas serta berkelengkapan baru.
“Kehidupan baru berumah tangga sudah tentu memerlukan belanja lebih besar, tetapi dengan keprihatinan kerajaan, Mindef, ATM dan TDM ini mampu menjimatkan hampir 80 peratus perbelanjaan bulanan saya. Malah, saya kini lebih berbangga membawa nama ATM,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source