Sasar 15,000 asnaf keluar belenggu kemiskinan tahun depan
SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan 15,000 asnaf berjaya dikeluarkan daripada kelompok tersebut pada tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, jumlah tersebut adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 2022 yang melibatkan kategori pembangunan usahawan, kerjaya, kemahiran dan peningkatan pendapatan sendiri.
Katanya, pihaknya sentiasa mencari ruang dan peluang dalam meningkat prestasi golongan tersebut supaya dapat memperbaiki status mereka.
“Secara tahunan, Alhamdulillah LZS dapat mengeluarkan sejumlah 4,000 daripada status kemiskinan.
“Ini adalah langkah-langkah proaktif dalam pembangunan asnaf di mana bukan hanya tertumpu kepada usaha kelangsungan untuk bantuan asasi seperti tempat tinggal, makan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024, hari ini.
Seramai 39 individu menerima anugerah masing-masing termasuk 23 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan institut pengajian tinggi (IPT) yang disempurnakan Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang di sini, hari ini.
Mohd. Sabirin menjelaskan, berdasarkan rekod kira-kira 200 asnaf mendapat pekerjaan setiap tahun yang dilaksanakan Divisyen Pembangunan Insani.
Selain itu, ujarnya, seramai 2,000 penerima bantuan pendidikan mendapat keputusan 5A ke atas dalam SPM dengan 7,000 asnaf berada di IPT.
“Untuk makluman LZS kini menyantuni hampir 74 ribu keluarga asnaf
fakir dan miskin, serta lebih 4,000 individu mualaf di Selangor dengan angka ini dijangka terus meningkat mencecah 157,000 buah keluarga. Justeru, kita menyasarkan 12,000 keluarga asnaf setiap tahun untuk dibantu,” katanya.
Sementara itu, penerima Ikon Mualaf 2024, Shamala Nair, 36, mengakui bantuan diberikan LZS sangat membantunya termasuk dari bantuan sewa rumah, biasiswa sehingga peringkat Sarjana dan sara hidup.
“Empat tahun pertama saya masuk Islam secara senyap-senyap dan ia bukan mudah namun LZS banyak membantu. Kini, saya bersama suami mengusahakan syarikat pembekalan peralatan di hospital kerajaan dan swasta.
“Anugerah ini bukan untuk saya tetapi semua mualaf di luar sana dengan kita harus sentiasa teguh keimanan dan sabar serta yakin terhadap rezeki yang akan diberikan Allah,” katanya. -KOSMO! ONLINE.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source