Penuhi 25,000 peluang pekerjaan industri rel, latihan pekerja mahir digiatkan
SEREMBAN: Kerajaan kini giat untuk melahirkan tenaga mahir tempatan dalam bidang pengangkutan rel yang kini menawarkan kira-kira 25,000 peluang pekerjaan dalam negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, peluang untuk mengisi keperluan jumlah pekerjaan itu mesti dimulakan menerusi program latihan dan pembangunan kemahiran modal insan sekali gus memperkukuh ekosistem rel yang telah diwujudkan.
“Saya sebutkan bahawa di luar sana, terdapat 25,000 peluang pekerjaan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersedia untuk melatih pelajar-pelajar bagi menerobos peluang ini. Gaji minimum dalam bidang ini juga bermula dari RM3,000 dan meningkat sehingga RM7,000 bergantung kepada kepakaran pelajar-pelajar ini.
“Dahulunya kita terpaksa menghantar pelajar ini ke luar negara, kini segalanya kita telah lakukan di sini. Malaysia sedang menuju negara maju dan UniKL dalam hal ini terlibat secara langsung untuk melatih tenaga profesional, teknikal dan vokasional dalam semua bidang termasuk MRO kapal terbang, kini kereta api dan kapal.
“Ertinya TVET tidak lagi dalam bidang profesional dan konvensional tetapi kini tumpukan dalam bidang Hi-TVET, kita tahu bahawa kita ada ECRL (projek Laluan Rel Pantai Timur) dan akan datang (HSR) Kereta Api Berkelajuan Tinggi dan UniKL sanggup bekerjasama bagi melatih pekerja mahir bagi operasi HSR kelak,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Handback Ceremony Tren SCS Class 92 Projek Penyelenggaraan, Pembaikan dan Operasi (MRO) dan Perjanjian Kolaborasi Di Antara M Rail Technics (Railtec) dengan UniKL di Depoh EMU KTMB Seremban di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi UniKL, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali dan Pengerusi Kumpulan Destini dan Railtec, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir.
Ahmad Zahid bagaimanapun memberitahu, masih terdapat keperluan untuk menghantar pelajar-pelajar tersebut ke luar negara seperti ke Australia bagi memperoleh lebih pendedahan dan pengalaman dalam bidang tersebut.
“Apa yang penting, pengetahuan, kepakaran daripada negara itu dan negara-negara lain wajib dibawa ke negara kita kerana Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju suatu ketika nanti,” jelasnya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Kesesakan Lalu Lintas dan Keselamatan Jalan Raya, memang menjadi hasratnya untuk melihat Malaysia berada di landasan tepat untuk menjadi peneraju pengangkutan rel serantau dan global.
“Di negara kita masalah kesesakan jalan raya terutamanya di bandar-bandar besar terlalu mendesak, saya amat prihatin bagi mencari penyelesaian masalah ini.
“Memang benar banyak cadangan untuk kita sampai ke satu destinasi mesti melalui pengangkutan awam, namun apa yang lebih penting kesediaan pengangkutan awam mesti berada di tahap tertinggi termasuklah rel yang merupakan mod pengangkutan awam yang penting,” jelas beliau.-UTUSAN.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source