BN perlu lepaskan ego kepartian
KUALA LUMPUR: Pimpinan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya melepaskan ego kepartian demi mencapai matlamat lebih besar iaitu kepentingan politik negara sekali gus diterima oleh seluruh latar belakang rakyat Malaysia.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN mesti bersedia mencipta perubahan yang melangkaui kepentingan parti dalam mengatur agenda politiknya dan melihat dari sudut pandang lebih luas.
Katanya, keadaan itu akan membolehkan BN menyusun langkah ke hadapan demi mencapai matlamat lebih besar daripada kepartian dalam dinamika politik masa kini.
“Sebagai contoh, jika kita nak berbicara tentang pembahagian kerusi, pastinya UMNO sendiri ingin mendapatkan semula semua 121 kerusi yang pernah ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.
“Namun, realitinya, kita perlu bertindak lebih strategik. Jika dikaji, setiap daripada parti-parti teras pernah mengetepikan ego masing-masing, ketika penubuhan BN sendiri.
“UMNO ketepikan ego untuk bekerjasama dengan Pas, begitu juga MCA, walaupun seteru, pernah bersama Gerakan dan MIC pula bersama MyPPP,” katanya dalam ucaptama pada Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Tambahnya, BN juga perlu bijak mengurus keutamaan iaitu kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat walaupun terdapat keinginan untuk kembali menjadi parti yang dominan.
Katanya, rakyat kini menilai bukan hanya pada janji, tetapi pada tindakan dan keputusan yang menunjukkan kebijaksanaan kita mengurus negara.
“Pilihan untuk bersama Kerajaan Perpaduan ini adalah pengorbanan besar, tetapi ia juga peluang untuk BN membuktikan bahawa kita adalah komponen dalam gabungan itu yang matang dan bertanggungjawab.
Menangguhkan keinginan bukan bermaksud melupakan, tetapi memberi laluan kepada agenda yang lebih besar dan bila pengorbanan ini dirasai rakyat, maka BN akan kembali dominan seperti yang kita semua harapkan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, terdapat tiga kerangka untuk BN bergerak ke hadapan yang perlu dirungkai bersama.
Katanya, kerangka pertama adalah penjenamaan semula yang mesti mencerminkan transformasi selari dengan cabaran semasa melalui pendekatan proaktif, inklusif, dan inovatif.
“BN mesti membina semula identitinya sebagai kuasa dinamik dalam politik Malaysia dengan naratif yang sesuai dengan kehendak zaman,” katanya.
Kerangka kedua, Ahmad Zahid berkata, adalah mentakrifkan semula kesesuaian strategi, gerak kerja dan tindakan BN.
Katanya, dahulu pendekatan BN lebih tertumpu pada cara tradisional dalam menyantuni rakyat.
“Kini, BN perlu berubah menjadi parti berasaskan data, memanfaatkan teknologi terkini untuk memahami sentimen dan corak pemikiran rakyat.
“BN juga perlu mengamalkan budaya politik baharu yang mengutamakan meritokrasi dan intelektualisme,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerangka ketiga adalah menyusun semula dan perlu memperkukuh gerakan akar umbi, membina kepercayaan rakyat, serta menangani cabaran masyarakat dengan pendekatan inklusif dan aspirasi bersama.
“Pendekatan pemilihan calon juga perlu diperkemaskan dengan memberi keutamaan buat mereka yang aktif di lapangan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemimpin BN perlu turun padang, berkongsi cerita dan menunjukkan empati terhadap rakyat kerana sikap rendah hati akan menjadikan BN lebih dekat di hati masyarakat.
“Penjenamaan semula perlu disokong dengan strategi moden seperti memperbaharui slogan, bahan kempen dan pengisian media sosial, sekaligus mencerminkan era baharu yang lebih dekat dengan aspirasi anak muda dan generasi digital,” katanya.
BN ditubuhkan pada 1 Jun 1974 oleh Tun Abdul Razak Hussein, yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.
Gabungan BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source