Surat Tun M kepada Peguam Cara Negara bukan pendapat tapi keputusan
PETALING JAYA: Surat Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah untuk menyuarakan pendapatnya terhadap rayuan Malaysia terhadap Pulau Batu Puteh bukan pendapat semata-mata.
Sebaliknya surat bertarikh 21 Mei 2018 itu disifatkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sebagai suatu keputusan.
Berdasarkan Laporan RCI yang didedahkan kepada umum, hari ini, keterangan diperoleh menunjukkan bahawa tindakan diambil oleh Peguam Cara Negara dengan memaklumkan kepada Singapura bahawa Malaysia tidak berhasrat meneruskan permohonan tersebut adalah bersandarkan kepada surat Dr. Mahathir tersebut dan bukannya keputusan Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 23 Mei 2018 bermula pada jam 9.30 pagi.
Menurut laporan itu, keterangan juga menunjukkan bahawa keputusan tersebut telah disampaikan kepada Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri bermula.
“Surat Peguam Cara Negara tersebut di atas tidak menyatakan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan adalah merupakan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir.
“Adalah juga diperhatikan bahawa Dr. Mahathir tidak mempertikaikan dan/atau menafikan mahupun membetulkan kandungan surat Peguam Cara Negara tersebut bagi
memperjelaskan bahawa surat beliau bertarikh 21 Mei 2018 hanyalah merupakan satu pendapat semata-mata dan bukanlah merupakan suatu keputusan atau arahan.
“Dengan alasan-alasan tersebut, Suruhanjaya tidak dapat menerima dakwaan Dr. Mahathir bahawa surat bertarikh 21 Mei 2018 supaya Malaysia tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut merupakan suatu pendapat beliau semata-mata.
“Sebaliknya, surat tersebut merupakan suatu keputusan,” katanya dalam laporan tersebut.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.
ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.
RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 14 Februari lalu selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Seri Paduka juga memperkenankan pelantikan tujuh ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif sebagai pengerusi dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali sebagai timbalan pengerusi.
Lima lagi ahli RCI itu ialah pengamal undang-undang, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu; bekas Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Prof. Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin; pakar undang-undang Perlembagaan dan undang-undang pentadbiran, Prof. Datin Dr. Faridah Jalil.
Selain itu, Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia, Dickson Dollah, manakala Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zamri Misman sebagai Setiausaha RCI dan BHEUU JPM sebagai urus setia. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source