Tabung pendidikan ISDEF-UKKM bantu pelajar B40
IPOH: Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) hari ini melancarkan tabung pendidikan bagi membantu pelajar golongan berpendapatan rendah (B40) melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) itu.
Canselor UKKM, Datuk Ewon Benedick berkata, tabung pendidikan hasil inisiatif UKKM bersama Yayasan Pembangunan Sosioekonomi Islam (ISDEF) itu bertujuan membantu pelajar yang layak meneruskan pengajian tanpa halangan kewangan.
Malah katanya, ia juga bagi memastikan pelajar B40 tidak tercicir dalam pendidikan tinggi khususnya daripada aspek bidang pengajian koperasi.
“Tabung Pendidikan ISDEF-UKKM ini adalah aspirasi besar untuk memastikan tiada anak bangsa yang ketinggalan hanya kerana kekangan ekonomi.
“Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja membuka pintu kepada pendidikan tinggi tetapi turut menggalakkan pelajar untuk cemerlang akademik dengan fokus sepenuhnya pada pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Tabung Pendidikan ISDEF-UKKM di Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Cawangan Ipoh, di sini hari ini.
Terdahulu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyempurnakan pelancaran pejabat IKMa Cawangan Ipoh yang beroperasi sejak tahun lalu.
Mengulas lanjut Ewon berkata, kerjasama dengan ISDEF iaitu sebuah yayasan tidak berasaskan keuntungan itu juga menambah nilai tabung dengan sokongan endowmen bagi menjamin bantuan berterusan kepada pelajar yang memerlukan.
“Pendidikan merupakan antara cara terbaik untuk mengubah nasib dan taraf hidup, namun ada waktunya faktor kewangan menjadi halangan utama kepada pelajar dari golongan berpendapatan rendah.
“Oleh itu, tabung pendidikan ISDEF-UKKM ini yang juga berfungsi sebagai tabung endowmen, menjadi medium alternatif yang paling sesuai untuk memberikan bantuan kewangan bagi membantu pelajar-pelajar UKKM yang layak,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pembukaan IKMa Cawangan Ipoh, Ewon berkata, cawangan terbaharu itu akan menjadi pusat kecemerlangan pembangunan pendidikan bagi koperasi dengan menawarkan program latihan termasuk pengurusan kewangan, keusahawanan dan digitalisasi.
Katanya, di Perak ketika ini mempunyai 1,734 koperasi berdaftar sekali gus berada di kedudukan ketiga tertinggi dengan 11 koperasi tersenarai dalam kategori 100 koperasi terbaik.
“Saya yakin dengan pejabat baharu di negeri ini dapat membantu menggerakkan lagi pencapaian dan sumbangan gerakan koperasi di Perak kepada aktiviti ekonomi negara.
“Ini dibuktikan dengan tersenarainya 11 koperasi di Perak dalam senarai 100 koperasi terbaik seluruh negara,” katanya. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source