Dewan Rakyat: Semua bas ekspres dilarang guna soket pengecas telefon
KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres berikutan insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres itu sehingga laporan pasukan petugas khas berhubung kejadian tersebut selesai dijalankan.
“Sekarang ini semua bas ada soket ini dilarang guna soket ini sementara waktu sebab kita nak dapatkan punca sebenar insiden ini dulu.
“Selepas pasukan petugas khas ini sediakan laporan, kalau ada penambahbaikan perlu dilakukan, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk melihat balik prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan sebelum penggunaan soket ini dibenarkan dalam bas ekspres,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) sama ada MOT boleh mengarahkan APAD memastikan peralatan mengecas telefon yang di pasang dalam pengangkutan awam diuji tahap keselamatan sebelum diberi kelulusan untuk digunakan.
Sementara itu, Anthony Loke memaklumkan, penumpang tidak perlu khuatir berhubung keselamatan penggunaan soket pengecas telefon dalam pesawat dan kereta api.
Menurut beliau, soket pengecas telefon dalam pesawat dan kereta api memiliki piawaian yang perlu dipatuhi oleh syarikat pembuat pesawat dan kereta api.
“Ini jangan bimbang. Tidak perlu bimbang penggunaan soket tersebut. Bagi bas memang sekarang tidak ada piawaian tersebut.
“Setakat ini dalam pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan sebagainya, soket tidak dimasukkan sebahagian daripada pemeriksaan. Kita akan lihat balik SOP tersebut bersama ST untuk memastikan penggunaan soket ini dalam bas perlu ada satu standard piawaian,” katanya.
Menjawab soalan asal Mohd. Nazri, beliau berkata, MOT melalui APAD telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali bas ekspres yang terlibat dalam insiden renjatan elektrik pada 4 November lalu tersebut.
Kata beliau, syarikat berkenaan perlu mengemukakan maklum balas kepada APAD dalam tempoh masa tiga hari bekerja iaitu selewat-lewatnya pada 6 November 2024.
Jelasnya, STS bertujuan untuk mendapatkan maklum balas mengenai kemalangan
daripada pihak pengusaha bas.
“Pada 6 November 2024, wakil ST, JPJ, MIROS, SIRIM dan APAD juga telah melakukan pemeriksaan awal ke atas syarikat pembuat bas terlibat. Laporan lengkap mengenai punca insiden akan disediakan oleh pasukan petugas khas setelah siasatan menyeluruh siap.
“Saya telah memberikan masa selama 14 hari kepada pasukan petugas khas untuk menyediakan laporan tersebut. Saya akan umumkan secara terperinci hasil laporan
itu nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source