MIDF sedia RM200 juta untuk Future Ready Financing
KUALA LUMPUR – Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) memperuntukkan dana berjumlah RM200 juta untuk program Future Ready Financing (FRF), yang menyediakan lembaran baharu buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam sektor pembuatan.
FRF disediakan bagi mempercepatkan automasi dan penggunaan teknologi dalam Revolusi Industri 4.0, dengan menyasarkan untuk membantu 100 PKS menaik taraf operasi menjadi kilang pintar menjelang tahun 2027, serta mewujudkan lebih 500 pekerjaan berkemahiran tinggi.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), SIRIM, dan penyedia penyelesaian teknologi terkemuka bagi menyediakan PKS dengan sokongan komprehensif termasuk bantuan kewangan, khidmat nasihat dan akses kepada penyelesaian teknologi termaju.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, ekonomi Malaysia mesti berkembang melalui penggunaan dan penyesuaian teknologi dan dalam masa sama, mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing tidak mahir.
Jelasnya, meskipun negara telah mengalami lonjakan ekonomi pada tahun 90-an, banyak syarikat mengambil jalan mudah dengan memilih buruh asing tidak mahir yang murah, seterusnya memberi tekanan kepada kenaikan gaji serta mengakibatkan ramai rakyat Malaysia terpaksa ke luar negara untuk bekerja sebagai pekerja asing murah termasuk di Singapura.
“Kerajaan bertekad mengubah perkara ini, terdapat keperluan untuk membuatkan pengambilan pekerja asing menjadi lebih mahal melalui mekanisme levi pelbagai peringkat, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk pekerja asing, dan gaji minimum lebih tinggi.
“Apabila kos mengambil pekerja asing tidak mahir menjadi lebih mahal, adalah lebih berdaya maju dari segi kewangan bagi industri untuk menerima pakai lebih banyak teknologi, mengurangkan jumlah buruh dan membayar setiap pekerja mahir dengan gaji yang lebih tinggi.
“Semua ini sudah tentu akan menguntungkan pekerja tempatan,” katanya pada majlis pelancaran FRF di Menara MITI, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahmat Mamat menegaskan, pihaknya percaya bahawa pemerkasaan PKS tempatan adalah asas untuk membina Malaysia yang berdaya tahan dan inovatif.
“FRF mencerminkan dedikasi kami terhadap visi berkenaan, menyokong PKS dengan pembiayaan, sumber dan pengetahuan yang disesuaikan untuk berkembang secara mampan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source