[Parlimen] Malaysia mampu pimpin ASEAN jadi ekonomi keempat terbesar dunia
KUALA LUMPUR: Malaysia mampu memimpin dan melonjakkan ASEAN untuk muncul sebagai blok ekonomi keempat terbesar dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN mempunyai populasi sekitar 680 juta orang dan ia menjadikannya sebagai rantau ketiga paling ramai penduduk di dunia selepas China dan India.
Kata beliau, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan ASEAN mencapai kira-kira AS$3.8 trilion pada 2023 dan menjadikan rantau tersebut sebagai blok ekonomi kelima terbesar di dunia.
“Nilai perdagangan serantau ASEAN pula mencecah AS$3.5 trilion pada 2023. Berdasarkan prestasi semasa, sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia diyakini berupaya memimpin ASEAN untuk muncul sebagai rantau ekonomi terbuka bagi perdagangan dan pelaburan global,
“Seterusnya melonjakkan ASEAN sebagai ekonomi keempat terbesar dunia,” katanya dalam jawapan bertulis bagi sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta beliau menyatakan persiapan Malaysia dan hala tuju sebagai Pengerusi ASEAN 2025 terutamanya dalam konteks ekonomi serta cabaran geopolitik semasa.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia akan meneruskan usaha-usaha seperti dialog dan diplomasi bagi menangani cabaran geopolitik semasa berlandaskan prinsip kepusatan ASEAN dan ke arah memelihara rantau yang aman, stabil serta makmur.
“Malaysia (juga) akan menggembleng sumber ASEAN ke arah membina masa depan ASEAN yang lebih terangkum dan mampan, merentasi pelbagai aspek kehidupan demi kesejahteraan berkekalan rantau ini dan rakyat.
“Selain itu, Malaysia akan terus memupuk dan mengukuhkan hubungan ASEAN dengan rakan dialog dan lain-lain rakan luar,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia sedang memuktamadkan senarai Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED), yang akan dibincangkan semasa Mesyuarat Pemukiman Pegawai Kanan Ekonomi dijadualkan pada 4 hingga 5 Disember 2024 di Kota Kinabalu, Sabah.
“Seterusnya, cadangan PED ini akan disahkan semasa Mesyuarat Pemukiman Menteri Ekonomi ASEAN dijadualkan pada 27 dan 28 Februari 2025 di Desaru, Johor,” katanya.
Tambahnya, terdapat beberapa PED berpotensi untuk dilaksanakan pada 2025 yang mampu mempasakan ekonomi ASEAN melalui peningkatan perdagangan dan pelaburan.
“(Antaranya) Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA),” katanya. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source