‘Kami belum dapat beri respons atas permohonan maaf dia’
MUAR: “Buat masa ini, kami tidak dapat memberi sebarang respons atas permohonan maaf oleh suami pemandu kereta itu. Kami sekeluarga masih tidak dapat memikirkan perkara lain selain masih terkejut dan sangat bersedih dengan kehilangan orang yang kami amat sayang.”
Demikian kata Muhammad Fakhrul Radzi Md. Tukirin, abang sulung Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, yang maut dalam kemalangan bersama dua sahabatnya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Rabu lalu.
Menurut Muhammad, bapanya, Md. Tukirin Saringat, 60, dan ibunya, Rafeah Buang, 52, masih tidak dapat melupakan kejadian yang menimpa adiknya itu.
“Kami sekeluarga masih bersedih dan terkejut dengan kejadian itu. Ayah saya tidak lalu makan sejak kejadian yang menimpa Akmal. Dia juga seperti tercari-cari di mana adik saya berada.
“Ibu pula tidak dapat tidur kerana masih bersedih dengan kehilangan adik saya. Kami sekeluarga masih lagi cuba untuk menerima kenyataan adik saya sudah pergi buat selamanya,” katanya sugul ketika ditemui Mingguan Malaysia, di sini semalam.
Muhammad berkata, walaupun berduka dan perasaan kehilangan orang tersayang masih terasa, ayahnya meneruskan rutin harian ke masjid untuk solat berjemaah.
Md. Tukirin yang juga pemandu lori juga mengakui Allahyarham Muhammad Akmal adalah seorang anak yang sangat taat dan banyak membantunya semasa bekerja.
“Dia seorang anak yang sangat baik. Rajin bantu saya semasa saya memandu lori dan tidak pernah ingkar kata kami sebagai ibu bapa.
“Semua ini adalah ketentuan Ilahi. Walaupun perit untuk kami sekeluarga menerimanya, kami tetap reda dengan pemergiannya.
“Cuma sebagai manusia biasa, kami masih memerlukan masa melalui saat getir untuk menerima ketiadaannya dalam keadaan kemalangan sebegitu,” katanya. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source