Gubal dasar, undang-undang kawal sebaran kenyataan berbaur kebencian
PUTRAJAYA – Kerajaan disaran menggubal dasar dan undang-undang berkaitan bagi mengawal penyebaran kenyataan berbaur kebencian dalam kalangan rakyat negara ini.
Saranan berkenaan antara penemuan dalam Kajian Mengenai Kenyataan Berbaur Kebencian di Malaysia yang dilaksanakan oleh Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan UPM Consultancy and Services Sdn. Bhd. (UPMCS).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perihal berkaitan kenyataan berbaur kebencian menjadi semakin penting, kritikal dan serius seiring dengan perkembangan landskap kemajuan teknologi digital serta informasi terkini.
Beliau berkata, ini juga didorong peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat yang antara lain turut menjadi medium penyebaran serta penularan kenyataan berbaur kebencian.
“Kajian ini hanya memfokuskan kepada kenyataan berbaur kebencian yang berlaku di Malaysia tanpa melibatkan isu berkaitan dengan kebebasan bersuara.
“Kenyataan berbaur kebencian di media sosial mempunyai impak signifikan terhadap hubungan antara etnik dan agama dalam sesebuah Masyarakat sekali gus cenderung memperkukuh stereotaip negatif, meningkatkan prasangka dan memupuk kebencian antara kumpulan etnik dan agama.
“Ini boleh merenggangkan hubungan antara komuniti yang berbeza dan mencipta jurang yang lebih dalam seterusnya membawa kepada pengasingan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aaron berkata, sebagai contoh penghinaan terhadap amalan keagamaan atau budaya tertentu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan, memperburuk hubungan antara kumpulan yang terlibat sehingga boleh melemahkan perpaduan sosial.
Antara hasil penemuan lain menerusi kajian itu ialah kerajaan boleh memperkenalkan pendidikan awam dan kempen kesedaran untuk mendidik masyarakat tentang bahaya kenyataan berbaur kebencian.
Selain itu, pelaksanaan program pendidikan khas untuk pengamal media, termasuk wartawan dan pengurus media termasuk kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dalam mengatasi isu ini dengan mengadakan program kesedaran dan pendidikan.
Hasil kajian berkenaan secara praktikalnya mencadangkan sembilan domain iaitu institusi pendidikan, keluarga, institusi keagamaan, dasar pemerintah, undang-undang negara, penguatkuasaan, kepimpinan, NGO.
Ia termasuk aspek penggunaan media sosial yang perlu diberikan perhatian utama dalam usaha untuk terus menangani dan membendung sebarang bentuk kenyataan berbaur kebencian. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source