Mayat bayi perempuan dilahirkan warga asing dibuang tepi sungai
TAIPING – Mayat seorang bayi perempuan yang meninggal dunia setelah dilahirkan oleh seorang warganegara Kemboja ditemui di kawasan tepi Sungai Larut di Simpang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping telah menerima laporan dari Bahagian Kecemasan Hospital Taiping kira-kira pukul 3.32 pagi berkaitan perkara tersebut.
Beliau berkata, pihak hospital memaklumkan bahawa mereka menerima seorang pesakit wanita warganegara Kemboja dalam keadaan sedar dan baharu melahirkan anak tetapi bayi itu dikatakan telah meninggal dunia.
“Bagaimanapun, bayi tidak dibawa bersama wanita berusia 43 tahun berkenaan. Mangsa dalam kejadian adalah seorang bayi perempuan yang baharu dilahirkan dan disyaki telah dibuang.
“Susulan daripada maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota IPD Taiping telah digerakkan bagi mengesan suspek dan telah berjaya menangkap seorang lelaki warganegara Nepal berumur 34 tahun dalam masa kurang 24 jam,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Nasir berkata, tangkapan telah menunjukkan tempat mayat bayi perempuan dibuang iaitu kawasan tepi Sungai Larut, Simpang di Taiping, dengan mayat itu dibalut dengan kain dan diletakkan di dalam beg.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang kanak-kanak dengan jalan membuang mayat kanak-kanak itu dengan sulit.
“Yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source