40 mesin pengimbas baharu JKDM dilengkapi teknologi AI
SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selesai menempatkan sejumlah 40 unit mesin pengimbas baharu berteknologi terkini yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI) di 24 lokasi seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, mesin pengimbas itu dilaksanakan pengujian pada Julai lepas dan pemerolehan kali ini berbeza kerana membabitkan penyewaan yang merangkumi kos penyelenggaraan.
“Jika sebelum ini, kita beli sahaja namun kalau rosak, kena tunggu lama bagi baiki namun sekarang ia termasuk pakej alat ganti sekali dan juga boleh dibaik pulih segera,” jelasnya selepas mengiringi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan merasmikan mesin itu di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Dua unit alat pengimbas baharu ditempatkan di sini dan dua lagi bagi menggantikan yang lama manakala Terminal 2 KLIA turut menerima dua mesin baharu serta dua penggantian.
Setiap mesin moden tersebut yang bernilai RM1.018 juta ujarnya, sudah dipasang di empat buah lapangan terbang antarabangsa iaitu Pulau Pinang, Langkawi, Senai dan Kuching.
Mengulas lanjut, Anis Rizana berkata, pengimbas itu juga diletakkan di kompleks sempadan utama negara di Padang Besar, Pengkalan Hulu, Bukit Kayu Hitam, Tebedu dan Tawau.
“Ada dipasang di pusat mel kurier KLIA selain di Larkin, Kuching dan Kota Kinabalu serta terminal feri di Kuah dan Pasir Gudang serta lima lapangan terbang domestik,” katanya.
Uniknya mesin tersebut tambah beliau, dilengkapi AI dengan dua visual serentak iaitu sisi dan atas yang mampu mengimbas isi kandungan bagasi jika ada bahan larangan disorok.
Sebelum ini jelasnya, JKDM sudah menerima pelbagai mesin itu sejak 2023 yang meliputi lapan unit pengimbas kargo udara, 11 unit pengimbas badan dan tujuh pengimbas bagasi.
Secara keseluruhan ujar beliau, agensi berkenaan telah memiliki sejumlah 66 unit mesin tersebut yang telah dapat beroperasi dengan membabitkan nilai perolehan RM84.3 juta.
Penempatan mesin itu juga kata Anis Rizana, sebagai langkah persediaan oleh JKDM sebelum penyerahan tugas kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia.
“Kami berharap dengan alat canggih ini, agensi yang baharu selepas ini dapat melakukan kerja pemeriksaan keluar masuk barangan di sempadan dengan lebih baik,” tambahnya.
Pada masa sama kata beliau, mesin tersebut diharapkan berupaya membantu menyekat kes penyeludupan produk larangan dan pengelakan cukai pihak tidak bertanggungjawab. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source