Tabung Pahlawan berjaya bantu 48,000 veteran sejak diperkenalkan
KUALA LUMPUR – Seramai 48,000 veteran berjaya dibantu menerusi Tabung Pahlawan yang diperkenalkan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) sejak 1950.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia melibatkan bantuan sara hidup, bencana alam dan kesihatan seperti kemudahan dialisis, penyediaan anggota atau bahagian badan palsu serta inisiatif perumahan dan bantuan pengurusan jenazah.
“Hasil sumbangan daripada tabung inilah yang dimanfaatkan secara sistematik dan terurus untuk membantu meringankan beban dan tekanan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Menurut Khaled, sehingga kini, terdapat kira-kira 300,000 anggota veteran dan tanggungan yang direkodkan menjadi golongan sasar tabung berkenaan.
Katanya, ramai dalam kalangan veteran perlu dibantu terutamanya melibatkan perkara yang tidak disediakan oleh pihak kerajaan antaranya seperti bantuan susu khas, lampin dan peralatan pakai buang.
“Malah, sebahagian besar mereka yang memerlukan bantuan ini adalah veteran terlantar yang daif, berpendapatan rendah dan tidak mampu menguruskan diri,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau menyeru lebih ramai individu dan syarikat korporat untuk menyalurkan sumbangan ke tabung berkenaan.
“JHEV ATM akan cuba memudahkan proses memberi sumbangan dan memastikan sumbangan boleh dibuat melalui pelbagai saluran tanpa mengira jumlah dan nilai kerana sumbangan yang diberikan sangat bernilai.
“Dana yang dikutip ini akan bertindak sebagai satu tabung bantuan kecemasan tambahan bagi kumpulan veteran ATM yang memerlukan bantuan dan sokongan yang tidak dapat disalurkan oleh kerajaan dalam keadaan tertentu,” jelasnya.
Pada masa sama, JHEV ATM turut memperkenalkan penggunaan Kad Veteran Digital Veteran ATM yang akan dipaparkan dalam peranti mudah alih melalui aplikasi Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0.
Orang ramai juga berpeluang menyalurkan sumbangan terus ke akaun Kempen Tabung Pahlawan melalui Yayasan Veteran ATM di 5643 4262 2956 (Maybank), 8604 2715 71 (CIMB Islamic Bank Berhad) atau Tabung Rayuan Hari Pahlawan di 1059 5000 3201 (Affin Islamic Bank Berhad). – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source