Bagai mati hidup semula, Phua Chu kang pernah ‘mati’ 30 saat
KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal dengan watak Phua Chu Kang, Gurmit Singh mendedahkan pernah berhadapan detik cemas selepas jantungnya berhenti berdegup selama 30 saat.
Menurut Gurmit atau nama lengkapnya Gurmit Singh Virk Chainchal Singh, 59, punca dirinya tidak sedar masih tidak diketahui walaupun sudah mendapat rawatan pakar.
“Pada 2017, otak saya tiba-tiba seperti ‘shutdown’ sampai tidak tahu di mana saya berada dan apabila isteri saya telefon bertanyakan tentang lokasi, saya sendiri keliru.
“Saya jawab tidak tahu, tetapi tempat ini dipenuhi dengan lokar. Kemudian saya baru sedar yang berada di gim tetapi yang peliknya saya tidak dapat mengingati bagaimana saya boleh berada di sana.
“Kemudian saya dapatkan pemeriksaan daripada pakar bedah saraf dan buat MRI (pengimejan resonans magnet). Seterusnya dihantar kepada pakar kardio untuk buat ujian,” katanya ketika ditemui ketika sesi sidang media Phua Chu Kang: The Greatest Show Man, semalam.
Selain itu, pelawak itu turut berkongsi kejadian ‘mati’ itu ketika mendapat rawatan pakar di hospital.
“Ketika di hospital, saya diberi ubat untuk pam jantung sebelum pengsan. Bila saya bangun, doktor cakap saya bukan saja pengsan tapi jantung pun terhenti lebih 30 saat.
“Saya sangat terkejut dan di luar jangkaan tiba-tiba boleh mati. Semua pakar yang memeriksa saya tidak tahu punca ia berlaku,” kongsinya.
Dalam pada itu, pelawak dari Singapura itu turut berkongsi dia kini bersyukur kerana diberi peluang untuk hidup walaupun masih terbayang kejadian itu.
“Setiap hari selepas bangun saya sentiasa bersyukur kepada Tuhan kerana beri saya bonus untuk hidup lagi.
“Kita semua tidak tahu bila kita akan mati. Jadi setiap hari saya menjalani hari saya dengan penuh semangat dan positif, kerana bila-bila masa saja kita akan mati,” katanya.
Sementara itu, selain insiden ngeri itu, Gurmit juga pernah mendedahkan disahkan berdepan masalah tahap kolestrol membahayakan pada 2002.
“Selepas buat ujian darah, doktor hubungi saya dan berkeras untuk saya datang sendiri ke hospital untuk dengar keputusannya.
“Saya didapati tahap kolestrol sangat teruk dan bacaan terlalu tinggi hinggakan doktor bertanya kenapa saya masih hidup.
“Saya boleh terkena serangan jantung bila-bila saja walaupun ketika itu saya jaga tahap kesihatan dengan baik dan bersenam. Selepas itu, saya ubah cara diet serta amalan lain dan kembali sihat,” katanya.
Perkembangan terkini, Gurmit bakal muncul di Phua Chu Kang: The Greatest Show Man yang dibawakan oleh Popcorn Studio Sdn Bhd pada 24 dan 25 Oktober di HGH Convention Centre Sentul.
Selain Gurmit, persembahan yang dijangka berlangsung selama dua jam 30 minit itu turut dihiburkan dengan pelawak Russell Curtin dan Rizal Van Geyzel.-UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source