Pengasuh taska disyaki bunuh Al Fateh ditahan
ALOR GAJAH – Seorang pengasuh wanita berusia 34 tahun ditahan polis selepas disyaki menyebabkan kematian bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, pagi tadi.
Suspek yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak itu ditahan pasukan Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) kira-kira pukul 3.30 petang di taska terbabit.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pihak Hospital Alor Gajah memaklumkan telah menerima seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mengikut laporan dibuat, mangsa telah dihantar ke taska oleh datuk dan ibunya pada pukul 7.05 pagi tadi, namun pada pukul 9.05 pagi, pihak taman asuhan itu menelefon si ibu memberitahu bahawa tubuh badan bayi berkenaan dalam keadaan biru.
“Datuk dan ibu mangsa terus ke taska dan mendapati muka bayi berkenaan sudah menjadi biru dan hidungnya berdarah serta mangsa dalam keadaan terkulai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, bayi berkenaan kemudian dibawa ke bahagian kecemasan Hospital Alor Gajah, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Susulan kejadian itu, kita telah menahan seorang pengasuh wanita untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Suspek berasal dari Endau, Johor dan telah berkahwin serta mempunyai tiga orang anak,” ujarnya.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri meninggal dunia dipercayai akibat perbuatan seorang pengasuh wanita di sebuah taska di Kelemak yang bertindak membedung, menyumbat botol susu dan menekup mangsa dengan bantal.
Perkara itu didedahkan oleh bapa mangsa, Mejar Ir. Ts, Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 39, yang melihat kejadian tidak berhati perut itu dilakukan suspek melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.
“Kami baru hantar Al Fateh (ke taska) selama lima hari, isteri saya ambil cuti tanpa gaji selama setahun dan tempoh itu hampir habis jadi kami cuba hantarnya kepada pengasuh.
“Kami tunggu Al-Fateh selama 13 tahun, saya boleh terima kalau dia meninggal kerana tersedak susu atau terjatuh kerana ia diluar kawalan tapi apabila saya tengok sendiri CCTV, saya memang tak percaya benda ni dibuat sendiri oleh pengasuh,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, di sini, sebentar tadi.
Tambahnya, hasil soal siasat awal suspek yang berusia 34 tahun itu enggan mengakui perbuatannya sehingga rakaman CCTV itu diperiksa olehnya sendiri bersama-sama pihak polis. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source