Rafidah Ibrahim diarah bayar RM250,000
KUALA LUMPUR – Pelakon yang juga pempengaruh terkenal Rafidah Ibrahim diperintah membayar RM250,000 kepada usahawan Datuk Haris Embong dan syarikatnya oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung satu hantaran fitnah dalam media sosial tiga tahun lalu.
Hantaran fitnah yang dibuat Rafidah, 38, itu berkaitan keengganan syarikat yang menjual produk sejuk beku tersebut membayar hasil kerjanya selepas diberhentikan pada Ogos 2021.
Hakim Dr. John Lee Kien How@Mohd. Johan Lee memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Haris, 47, dan syarikatnya iaitu Arisprop Holdings Sdn. Bhd. masing-masing selaku plaintif pertama dan kedua.
Dalam penghakimannya ketika membenarkan saman itu, Hakim Mohd. Johan berkata mahkamah mendapati hantaran yang dibuat Rafidah selaku defendan itu adalah satu fitnah.
“Perkataan yang digunakan defendan telah mendedahkan plaintif-plaintif kepada kebencian, cemuhan, penghinaan dan menggunakan perkataan yang merendahkan maruah plaintif-plaintif di mata awam. Defendan juga telah mengajak pembaca-pembaca dalam hantaran itu untuk menjauhi plaintif-plaintif,” kata hakim itu.
Penghakiman lanjut turut menyatakan, mahkamah mendapati hantaran tersebut turut membawa maksud syarikat berkenaan telah mengambil kesempatan ke atas defendan dengan enggan membayar hasil kerja beliau.
“Ayat defendan menguatkan lagi gambaran tersebut keseluruhannya dan menambahkan lagi gambaran kepada pembaca seolah-olah syarikat perniagaan yang tak beretika, perniagaan yang mengeksploitasikan atau menggunakan khidmat seseorang tanpa bayaran dan tidak bermaruah dan perniagaan syarikat itu tidak berkat,” kata hakim itu.
Dalam pada itu, mahkamah turut menolak tuntutan balas yang difailkan Rafidah terhadap Haris dan syarikatnya antaranya wang sebanyak RM4,000 bagi gaji tertunggak bulan Ogos 2021 termasuk bayaran ganti notis.
Justeru berdasarkan alasan-alasan itu, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif terhadap defendan dan memerintahkan agar defendan membayar ganti rugi RM100,000, kepada plaintif pertama (Haris) dan RM150,000 terhadap plaintif kedua (Arisprop) selain kos RM30,000 dibayar kepada kedua-dua plaintif.
Pada masa sama, mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada melalui diri sendiri, ejen-ejen atau orang lain daripada menerbitkan perkataan fitnah terhadap plantif dalam apa juga sekalipun.
Sementara itu berhubung satu lagi hantaran fitnah yang dibuat defendan dengan mengatakan plaintif pertama (Haris) tidak bermaruah, tidak berintegriti dan jelik, mahkamah mendapati plaintif pertama gagal membuktikan semua unsur-unsur fitnah bagi hantaran tersebut.
Semasa prosiding Haris dan syarikatnya diwakili peguam Jocelyn Goh serta Foo Hong Chuen manakala Rafidah diwakili peguam Noorhafidzah Abd Rahim.
Sementara itu, Haris ketika ditemui selepas di selepas prosiding berkata dia menarik lega dengan keputusan mahkamah hari ini apabila selepas tiga tahun dicemuh akibat hantaran fitnah itu.
“Dengan keputusan hari ini dapat membersihkan nama saya dan syarikat. Tiga tahun saya berada dalam ‘alam kegelapan’ dan orang memandang serong terhadap perniagaan saya, ” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source