Dewan Rakyat: KDNK BRICS cecah AS$26.6 trillion beri kekuatan baharu kepada Malaysia
KUALA LUMPUR – Penyertaan Malaysia dalam organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) akan memberi kekuatan baharu dalam aspek ekonomi kepada negara.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara-negara anggota BRICS sedia ada mencecah AS$26.6 trilion.
“KDNK negara anggota BRICS adalah 26.2 peratus daripada KDNK dunia. Kalau kita buka jalur ini, kita yakin ini akan beri manfaat kepada syarikat-syarikat dan ekonomi negara kita,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) bagaimana penyertaan Malaysia dalam BRICS akan membantu perkembangan ekonomi negara khususnya dalam meningkatkan potensi eksport tempatan ke negara BRICS.
Sementara itu, Anwar menjelaskan, penyertaan Malaysia dalam BRICS tidak bercanggah dengan dasar luar negara kerana Malaysia mengambil pendekatan sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka untuk menjalin hubungan dengan semua pihak.
Menurut beliau, Malaysia bagaimanapun akan tetap meneruskan penyertaannya dalam organisasi dunia sedia ada termasuk Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) walaupun selepas menyertai BRICS.
Ujar beliau, Malaysia perlu melihat kepada realiti ekonomi semasa bahawa kekuatan ekonomi tidak lagi hanya bergantung kepada satu negara besar seperti Amerika Syarikat (AS), sebaliknya telah muncul beberapa kekuatan baharu termasuk China dan India.
“Penyertaan dalam BRICS tidak semestinya menjadi suatu permasalahan kerana negara-negara yang menyertai BRICS ini juga mempunyai hubungan perdagangan yang baik dengan Eropah, AS dan negara-negara lain.
“Hanya perkembangan dan keadaan sekarang menuntut kita secara tegas menjamin jaringan untuk kepentingan perdagangan, pelaburan dan ekonomi kita. Mengapa kita harus terikat dengan satu blok sahaja?,” katanya.
Sehubungan itu, kata Anwar, tiada sebab untuk negara ASEAN termasuk Malaysia berasa bimbang menyertai BRICS kerana ketetapan BRICS bukan untuk mencampuri urusan politik domestik negara-negara anggota.
Ujar beliau, walaupun sistem negara anggota BRICS yang berbeza seperti China dan Rusia, tetapi dalam hubungan dagangan dan kerjasama, mereka negara yang rapat dengan Malaysia.
Tambah beliau, negara dalam BRICS termasuk Afrika Selatan atau India yang mengamalkan sistem demokrasi yang lebih dekat dengan Malaysia juga tidak menghalang hubungan mereka dalam BRICS.
“Kita menekankan keutamaan perdagangan, ekonomi dan memperluaskan jaringan supaya negara dan rakyat terutama peniaga dan pelabur memperolehi manfaat.
“Saya setuju kita ambil masa untuk teliti implikasi, tetapi apabila kita lihat negara-negara ini juga dalam APEC dan juga dalam BRICS, maka tiada sebab Malaysia harus terkecuali dalam perkembangan sedemikian,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai implikasi penyertaan Malaysia dalam BRICS berkait hubungan dan Kerjasama dengan negara anggota BRICS yang terdiri daripada latar belakang politik, ekonomi dan sosial berbeza. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source