[VIDEO] Prebet Syafiq ditemui selamat selepas 19 hari hilang
PETALING JAYA – Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd. Halim yang dilaporkan hilang sejak 19 hari lalu ketika bertugas dalam Op Ukur di Limbang, Sarawak, ditemui dalam keadaan selamat, hari ini.
Anggota daripada Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu, Sarawak itu ditemui sekitar pukul 11.29 pagi tadi oleh kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) setelah 17 hari operasi dilancarkan.
Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia berkata, Syafiq berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.
“Beliau ditemui dalam keadaan selamat serta lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi.
“Beliau seterusnya diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata kenyataan itu, keluarga mangsa telah dihubungi oleh pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi panggilan telefon dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat.
Jelasnya, semua perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM.
“Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi ini khususnya kepada Kerajaan Sarawak.
“Termasuk juga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), individu serta semua yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga Syafiq berjaya ditemui selamat,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, TDM juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) atas bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang operasi SAR ini dijalankan.
“Kerjasama erat antara TDM dan ABDB dalam operasi ini telah membuktikan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan operasi ini sehingga beliau berjaya ditemui dengan selamat.
Tegasnya, satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sebagai penambahbaikan kepada Standard Operating Procedure (SOP) sedia ada.
“Dengan penemuan Syafiq dalam keadaan selamat, maka operasi SAR ini ditamatkan,” katanya.
21 Jun lalu, Kosmo! melaporkan seorang anggota daripada Batalion Ke-7 RS yang berpengkalan di Kem Kidurong, Bintulu, Sarawak hilang ketika sedang bertugas dalam Op Ukur.
Kehilangan Prebet Muhammad Syafiq dikesan pada 18 Jun lalu kira-kira pukul 12 tengah hari ketika bertugas bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) di Limbang, Sarawak.-KOSMO! ONLINE.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source