Gelanggang judo suram tanpa emas
SURABAYA – Skuad judo negara tidak dapat meneruskan rentak cemerlang pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 apabila gagal menghadirkan pingat emas dalam saingan yang berlangsung hari ini.
Atlet kategori atas 78 kilogram (+78kg), Siti Roha Miszuraini sekadar merangkul pingat perak selepas menjadi petarung kedua terbaik bagi kategori tersebut yang menggunakan format round robin.
Tewas kepada atlet tuan rumah, Indah Permatasari pada pertarungan pertama, atlet berusia 21 tahun itu bangkit dalam aksi kedua dengan menewaskan seorang lagi wakil Indonesia, Ike Faradiba Nurjannah.
“Pada perlawanan pertama, saya pernah bertemu dia (Permatasari) sebelum ini dan kalah juga. Saya masuk (ke gelanggang) dan yakin untuk menang tetapi bukan rezeki saya hari ini.
“Memasuki perlawanan kedua, saya hanya nekad untuk mencatat kemenangan meskipun sekadar pingat perak. Mak ada doakan saya dapat emas tetapi hanya dapat perak,” katanya ketika ditemui selepas berakhir aksi kedua.
Terdahulu, judo sudah pun menyumbangkan tiga pingat emas menerusi Nur Farah Izzati Wallah bawah 52kg (-52 kg) wanita, Amir Daniel Abdul Majeed (-81kg lelaki) dan Afiq Danish Zapri (-90kg lelaki).
Sementara itu, Muhammad Fareez Mohameid yang beraksi dalam kategori -60kg lelaki menyumbang pingat perak manakala Tan Yi Ting memenangi gangsa menerusi -73 kg lelaki. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source