Syarul akhirnya bergelar Olahragawan Kebangsaan 2023
KUALA LUMPUR – Selepas kali keenam tercalon pada Anugerah Sukan Negara (ASN), akhirnya jaguh bina badan negara, Datuk Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023. Ia sekali gus menjadi penutup karier terindah buat dirinya selepas mengumumkan persaraan pada Mac lalu.
Bagi Syarul, gelaran Olahragawan adalah penghargaan tertinggi baginya selepas 26 tahun bergelar atlet dan berharap pengiktirafan itu meningkatkan semangatnya untuk melahirkan lebih ramai jaguh bina badan negara selepas kini bergelar jurulatih.
“Saya akui ini adalah penghargaan tertinggi selama 26 tahun bergelar atlet selepas enam kali tercalon sejak 2016, 2017, 2018, 2019, 2022 dan 2023 ini akhirnya dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan buat julung kalinya.
“Ini menjadi pendorong semangat kepada saya untuk bimbing melatih atlet-atlet baharu untuk menjadi macam saya atau lebih baik dari saya,” katanya.
Syarul meraih gelaran Olahragawan Kebangsaan selepas meraih pingat emas Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan pada November tahun lalu.
Kemenangan tersebut membolehkan Syarul menambah koleksi gelaran dunia kali keenam selepas kali terakhir menjulangnya pada 2016, 2017, 2018, 2019, 2022 dan 2023.
Syarul mengatasi empat lagi calon lain iaitu atlet ekuestrian yang memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Mohd. Qabil Ambak Mahamad Fathil, pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Ng Eain Yow, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malek (karate) dan Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling).
Sementara itu, atlet boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan yang menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia muncul juara dunia di Kuwait tahun lalu dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.
“Saya percaya anugerah ini saya tidak akan kecapi tanpa dorongan dan bantuan semua pihak. Terima kasih kepada semua yang membantu saya. Saya berjanji dan akan terus berjuang serta gigih untuk mencapai tahap tertinggi,” ujarnya.
Natasha berjaya mengatasi atlet muay thai, Nur Amisha Azrilrizal, Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).
Bagi gelaran Olahragawan Paralimpik pula dimenangi jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, manakala Olahragawati Paralimpik menjadi milik atlet berbasikal para negara, Nur Suraiya Muhamad Zamri dan Farina Shawati Mohd. Adnan. -KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source