122,000 buku bernilai lebih RM600,000 telah ditebus – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Kira-kira 122,000 judul buku dengan nilai lebih RM600,000 ditebus melalui Aplikasi DELIMa dan Kota Buku Digital setelah pengagihan baucar buku diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif baucar buku berkenaan menunjukkan perkembangan yang sangat positif setakat tiga hari dilancarkan.
“Ia (baucar buku) menunjukkan kesan sangat positif, manakala pembelian DELIMa dan Kota Buku Digital memberikan beberapa signifikan pembelian dari segi judul sasterawan dan teknologi. Peningkatan yang sangat baik dan kita, Menteri Pendidikan (KPM) berharap ibu bapa terus memastikan baucar tersebut benar-benar ditebus untuk meningkatkan pembacaan dan minat anak sehingga hujung tahun.
“Jadi, Insya-Allah kita akan sentiasa mengambil sikap untuk terus memperbaiki segala aplikasi dilaksanakan di peringkat kementerian. Setakat ini, sebanyak 122,000 judul buku telah dibeli yang melibatkan pembelian lebih RM600,000.
“Peringkat KPM sahaja telah ditebus lebih kurang 56,000 buah. Ini maknanya pemberian baucar ini menjadi pemangkin kepada minat dan ramai ibu bapa pun mengambil kesempatan dalam memastikan anak mereka mendapat manfaat daripadanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya akan mempertimbangkan sama ada mahu melanjutkan inisiatif baucar buku sedemikian pada tahun akan datang.
“Kita akan lihat dulu tahun ini, sambutan dan juga kos yang terlibat. Pastinya ini adalah inisiatif yang baik untuk meningkatkan minat rakyat Malaysia dalam membaca dan menimba ilmu.
“Inisiatif ini sepatutnya dilihat bagaimana untuk terus dipertingkatkan khususnya untuk memastikan bukan sahaja dari aspek pembacaan progresif tetapi, menggunakan sepenuhnya sentuhan digital dan teknologis serta aplikasi yang ada,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai pesta buku yang berlangsung selama 10 hari itu, beliau cukup kagum dengan prestasi semua pihak dan berbangga dengan pengunjung yang hadir merancakkan program berkenaan.
“Tahniah semua kepada pemain-pemai buku dan semua yang terlibat kerana telah berjaya menganjur Pesta Buku Antarabangsa KL 2024. Ini adalah tahun yang sangat membahagiakan apabila kita dimaklumkan pengunjung meningkat yang mana keseluruhannya melibatkan 1.8 juta pengunjung.
“Ini menunjukkan peningkatan pengunjung dalam tempoh cuti sekolah ini memberi makna kepada pesta buku khususnya rakyat Malaysia. Kita dimaklumkan 70 hingga 80 peratus pengunjung adalah anak muda. Ini menunjukkan potensi yang cukup baik, anak muda kita berminat dengan buku dan budaya ilmu.
“Saya harap untuk tahun hadapan kita akan pertingkatkan lagi usaha membawa lebih banyak buku, khazanah terbaik dari seluruh dunia selain meningkatkan minat rakyat untuk membaca,” katanya,
Terdahulu Kosmo! melaporkan Perdana Menteri mengumumkan pemberian baucar buku RM50 dan RM100 kepada golongan pelajar membabitkan murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pendidikan tinggi serta Institut Pendidikan Guru, Khamis lalu.
Tempoh sah penebusan dan penggunaan baucar buku untuk murid dan pelajar di institusi pendidikan di bawah KPM adalah dari 31 Mei hingga 31 Disember ini. -KOSMO! ONLINE.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source