Bukan alas kaki, tapi sejadah mini
PETALING JAYA – Gambar Kaabah didakwa pada alas kaki yang dirampas pihak berkuasa di sebuah pasar raya baru-baru ini merupakan sejadah berbentuk mini.
AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menyedari hantaran media sosial berhubung salah faham berkaitan sejadah dilabel secara tidak tepat sebagai alas pintu.
“A&R Fashion Collection (A&R) mengesahkan bahawa produk itu sememangnya sejadah mini di mana coraknya adalah dalam format menegak yang juga amalan biasa.
“Bagaimanapun, selaras dengan amalan terbaik AEON BiG untuk pembekal, A&R menggunakan kod barangan dalam sistem yang sebelum ini digunakan untuk produk-produk lain syarikat itu.
“Akibatnya, label yang digantung pada produk menunjukkan pelbagai deskripsi lantas terus menyebabkan kekeliruan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, perkara itu sudah diperbetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan AEON BiG dan deskripsi barangan terbabit sebagai sejadah sudah dicerminkan.
“Kami sudah dimaklumkan mengenai isu ini pada 9 April lalu dan memberikan kerjasama sepenuhnya dan kenyataan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Pembekal terbabit, A&R Fashion Collection (A&R) adalah perusahaan kecil sederhana (PKS) milik 100 peratus bumiputera atau Islam yang membekalkan pakaian muslimah patuh syariah.
“Ini termasuk pakaian seperti jubah solat, tudung, kurta, samping dan songkok selain produk lain seperti sejadah, permaidani seperti tikar,” katanya.
Menurutnya, syarikat itu ditubuhkan pada 2007 dan menjadi pembekal kepada AEON BiG sejak 2015 dan juga pembekal kepada peruncit lain selain mengendalikan kedai sendiri.
“Kedua-dua pihak pengurusan AEON BiG dan A&R berharap bahawa kenyataan bersama ini akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu itu.
“Kami berharap spekulasi ini yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kita yang berbilang kaum akan dihentikan.
“AEON BiG dan A&R akan terus bekerjasama dengan JAINJ dan mana-mana pihak berkuasa berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut diperlukan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan JAINJ merampas 11 produk didakwa sebagai alas kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat Selasa lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid dipetik berkata, tindakan itu diambil susulan aduan awam terhadap tindakan pasar raya itu yang menjual alas kaki berkenaan sempena sambutan Aidilfitri.
Menurutnya, pengurusan pasar raya berkenaan sudah dipanggil bagi memberi keterangan dan diberi amaran supaya lebih berhati-hati terhadap produk jualan agar tidak menyentuh sensitiviti masyarakat. – KOSMO! ONLINE.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source