KK Supermart saman kilang pengedar stoking atas dakwaan sabotaj
SHAH ALAM – Kedai serbaneka, KK Supermart dan Superstore Sdn. Bhd (KK Supermart) telah memfailkan saman terhadap kilang yang mengedar stoking kontroversi ‘Allah’ dan pengarahnya atas dakwaan melanggar kontrak serta sabotaj.
Saman tersebut difailkan kedai serbaneka itu selaku plaintif menerusi firma guaman, Tetuan David Gurupatham & Koay di Mahkamah Tinggi di sini pagi tadi.
Dalam saman itu, plaintif menamakan Xin Jian Chang Sdn. Bhd. dan pengarahnya, Soh Chin Huat sebagai defendan.
Saman itu juga difailkan sehari sebelum KK Supermart didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetakan kalimah Allah.
Xin Jian Chang Sdn. Bhd. yang merupakan pembekal stoking berkenaan juga akan didakwa esok atas tuduhan bersubahat.
Mengikut penyataan tuntutan yang difailkan KK Supermart, pada 1 Disember 2021, kedai serbaneka terbabit dan kedua-dua defendan telah memasuki perjanjian pembekalan barangan ke kedai-kedai plaintif.
Kemudian pada 5 Februari 2024, defendan memohon untuk membekalkan stoking tangan (arm cover) yang kemudiannya dipersetujui oleh plaintif.
Plaintif menyatakan, tiada pada bila-bila masa pihaknya membenarkan kedua-dua defendan untuk membekalkan stoking kaki di premis-premis miliknya selain plaintif juga tidak pernah memberikan kod bar bagi penjualan stoking kaki berkenaan.
Bagaimanapun, Chin Huat didakwa telah meletakkan barangan kontroversi tersebut di rak pameran di premis KK Supermart di Bandar Sunway.
Tindakan tersebut didakwa dengan sengaja dilakukan bagi mengganggu perniagaan plaintif.
Tindakan itu juga didakwa dilakukan bagi merosakkan nama baik dan reputasi plaintif dalam dunia perniagaan serta bagi memastikan usaha KK Supermart untuk memyenaraikan syarikat itu dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO).
Dakwa plaintif lagi, tindakan tersebut telah mensabotaj perniagaannya dan mendedahkan mereka kepada kebencian, boikot, serta ugutan sehingga terpaksa menanggung kerugian.
Oleh itu, plaintif antara lain menuntut ganti rugi RM1.5 juta setiap minggu sehingga tarikh penghakiman akibat kehilangan keuntungan daripada purata perniagaannya.
KK Supermart juga memohon ganti rugi akibat kerosakan nama jenama plaintif sebanyak RM10.5 juta.
Plaintif turut menuntut RM20.3 juta bagi pembatalan cadangan penyenaraian IPO di Bursa Malaysia.
Turut dimohon ialah ganti rugi teruk dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source