Daftar Padu: Jangan serah bulat-bulat kepada Kementerian Ekonomi – Rafizi
PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri untuk sama-sama berganding bahu memainkan peranan penting agar masyarakat tidak ketinggalan untuk mendaftar Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).
Ujarnya, berbaki kurang dua minggu lagi Padu akan ditutup, beliau berharap semua kerajaan negeri turut mengadakan sesi Townhall bagi mengenal pasti wakil dari setiap kawasan supaya arahan dapat diberikan sekali gus membantu menjayakan usaha kerajaan ini.
“Menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan keciciran bantuan dan program kerajaan dapat dikurang dengan melibatkan pimpinan di semua peringkat. Tidak kira menteri besar, exco negeri, ahli parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, ahli majlis, ketua kampung, ketua blok dan wakil-wakil di setiap kawasan.
“Sebab itu saya juga seru tanggungjawab ini tidak diserahkan bulat-bulat kepada Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan (DOSM). Mustahil kalau digalaskan sepenuhnya kepada kami dan mustahil untuk kita dapat laksanakan sesempurna mungkin.
“Sedangkan ketika Padu dibentangkan di parlimen, ia disokong sepenuhnya oleh kerajaan negeri, ahli parlimen, pembangkang dan sebagainya. Bila sampai masa, banyak diserahkan kepada Kementerian Ekonomi dan DOSM,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan sebanyak 4,752 kawasan di seluruh negara dikenal pasti tidak mempunyai sebarang pendaftaran Padu mahupun apa-apa program bantuan kerajaan yang disediakan sebelum ini.
Beliau berkata, Selangor mencatatkan bilangan kawasan tertinggi iaitu 1,282 kawasan diikuti Kuala Lumpur (992), Sarawak (765), Sabah (620), Johor (271), Pulau Pinang (243) dan Kelantan (228).
Justeru, Rafizi berharap dalam tempoh dua minggu terakhir, tindakan-tindakan sewajarnya boleh diambil kerajaan negeri yang lain selain usaha kementeriannya, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.
Dalam pada itu, Rafizi turut menyangkal dakwaan sebuah portal berita yang menyatakan beberapa kaunter perkhidmatan pendaftaran Padu ditutup.
Sebaliknya jelasnya, pasukan Padu termasuk DOSM kini lebih tertumpu untuk membuka kaunter di 4,752 lokaliti tertumpu berisiko mengalami keciciran berbanding menunggu orang ramai untuk datang sendiri ke kaunter-kaunter atau pejabat kerajaan.
“Sejak Januari hingga Februari kita terima banyak permintaan dari persatuan penduduk, wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan, supaya pasukan Padu dan DOSM buka kaunter di kawasan mereka. Jadi lebih efisien untuk kita kerahkan tenaga kerja yang terhad untuk ke kawasan-kawasan lokaliti tertumpu.
“Dakwaan kaunter ditutup seolah-olah pegawai tidak buat kerja adalah tidak benar. Ada sahaja kaunter contohnya DOSM Selangor buka tujuh hari seminggu, dari pagi sampai malam. Pendekatan kita ketika ini, adalah lebih baik kita bertemu mereka berbanding pegawai tunggu di kaunter serta pejabat kerajaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source