40 tahun perkenalan, Miji memang sahabat yang baik – Karl Cromok
PASIR MAS – Pemain gitar utama band thrash metal popular, Cromok menyifatkan bekas pemain dram kumpulan itu, Tarmizi Mokhtar, 58, atau lebih dikenali sebagai Miji sebagai seorang sahabat yang baik.
Khairul Anuar Shariff, 58, atau Karl berkata, dia mengenali arwah Miji sejak 40 tahun lalu ketika menuntut di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu sebelum bersama-sama melanjutkan pelajaran ke Australia.
Menurutnya, dia mengetahui arwah mendapat rawatan di hospital ekoran menghidap kanser hati tahap empat apabila mengalami pendarahan sebelum dibenarkan keluar pada Isnin lalu.
“Arwah tidak memaklumkan kepada saya dan ahli-ahli Cromok yang lain mengenai tahap kesihatannya. Saya tahu dia sakit apabila dimasukkan ke hospital dan disahkan menghidap kanser hati.
“Dia memang sahabat yang baik. Ini merupakan kejadian yang sedih buat saya ketika Cromok sedang bersiap sedia untuk Konsert Clash Of The Titans bersama kumpulan A.C.A.B di Zepp KL pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumah keluarga arwah Miji di Kampung Jias, di sini hari ini.
Karl memberitahu, dia bersama pemain bass dan penyanyi Cromok, Shamsudin Ali,58, atau Sam terus membeli tiket penerbangan ke Kota Bharu pagi tadi selepas mengetahui berita kematian arwah Miji.
Menurutnya, kehadirannya bersama Sam merupakan satu penghormatan terakhir buat arwah selepas keluar daripada Cromok kira-kira lima bulan lalu ekoran faktor kesihatan.
Terdahulu, arwah Miji menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Cherang Hangus, di sini kira-kira pukul 10.40 malam tadi.
Arwah meninggalkan seorang balu, Halijah Othman,52, bersama tiga orang anak, Tasnim Asyiqin, 26, Farah Farhana (23) dan Muhammad Hakimi (21).
Jenazah arwah Miji disembahyangkan di rumah saudara-maranya di Kampung Jias, di sini pada pukul 2.30 petang sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kubur Besar Bandar Pasir Mas kira-kira 30 minit kemudian.
Sementara itu, Sam berkata, dia tidak menyangka arwah meninggal dunia kerana rakannya itu kelihatan sihat selepas keluar dari hospital pada Isnin lalu.
“Saya, Karl dan arwah sudah seperti adik-beradik. Susah senang suatu ketika dahulu kami ada bersama-sama. Semoga arwah Miji tenang di sana.
“Kali terakhir kami mengadakan persembahan bersama ketika Rock The World 20th Anniversary di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember 2022. Pada masa itu, dia sudah menyuarakan hasrat untuk berundur diri daripada Cromok,” ujarnya.
Anak kedua arwah, Farah Farhana berkata, arwah bapanya susut sebanyak 23 kilogram selepas disahkan menghidap kanser hati kira-kira sebulan lalu.
Menurutnya, arwah sebelum ini hanya menghidap penyakit tinggi sebelum dia dibawa untuk berjumpa pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Februari lalu.
“Mengikut kata ibu, arwah abah sakit perut dan perutnya bengkak sebelum pengsan malam tadi. Tidak berapa lama kemudian, arwah meninggal dunia.
“Arwah ada memeluk saya sangat lama dan erat sebelum saya pulang untuk kembali bekerja di Kuala Lumpur baru-baru. Dia seakan-akan tidak mahu melepaskan saya pergi. Itu merupakan kali terakhir saya bertemu dengan arwah abah,” ujarnya.
Miji dan Karl adalah anggota asal Cromok selain pengasas band berkenaan bersama Sam dan Din (gitar, penyanyi) ketika mereka menuntut di Sydney, Australia pada 1987. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source