Dua mayat mangsa pesawat terhempas tertimbus dua meter
KLANG: Polis mengesahkan penemuan dua mayat mangsa yang terbunuh dalam nahas sebuah pesawat ringan terhempas dekat kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar di sini.
Mangsa disahkan dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 dan 40-an masing-masing juruterbang serta pembantu juruterbang pesawat model BK 160 Gabriel tersebut.
Kedua-dua mayat itu dipercayai ditemukan tertimbus sedalam dua meter di dalam kokpit bangkai pesawat berkenaan, kira-kira pukul 2 petang tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi mengeluarkan mayat mangsa kini masih giat dijalankan di lokasi berkenaan.
Jelas beliau, keadaan mayat itu bagaimanapun belum dikenalpasti namun dipercayai masih sempurna atau ‘intact’.
“Kita menjangkakan kedua-dua mayat mangsa akan dibawa keluar selama tiga jam iaitu pada malam ini. Mayat akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi bedah siasat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Menurut Hussein, pihaknya menerima maklumat mengenai nahas menimpa mangsa dari Johor dan Pulau Pinang itu, kira-kira pukul 1.45 petang.
“Operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan oleh sepasukan 150 anggota polis, bomba dan agensi berkaitan. Usaha mengeluarkan mangsa mengalami kesukaran kerana perlu mengorek tanah di bangkai pesawat itu,” jelasnya.
Tambah beliau, siasatan lanjut nahas itu akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan.
“Polis juga akan membuka siasatan mengikut kertas inkuari polis dan kematian mengejut (SDR). Nahas itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa lain atau penduduk kampung tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan yang terhempas itu melibatkan dua mangsa.
Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 1.28 bagi penerbangan rekreasi.
Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebuah jengkaut dan dua dron turut digunakan bagi memantau dan membantu siasatan di lokasi kejadian.
Pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor juga dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source