Rayuan lepas, bebas Samirah bunuh CEO Cradle Fund diketahui esok
PUTRAJAYA – Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan akan diketahui esok di Mahkamah Rayuan di sini.
Sekiranya keputusan yang dijadualkan pukul 2 petang itu memihak kepada pendakwaan, Samirah dan dua remaja terbabit perlu kembali ke mahkamah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun jika keputusan sebaliknya, Samirah dan dua remaja itu kekal lepas dan dibebaskan.
Sebelum ini, hujahan kedua-dua pihak telah selesai didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim Datuk Azhahari Kamal.
Sebelum ini, pihak pendakwaan semasa berhujah memberitahu percikan darah (blood spatter) pada dinding bilik yang terbakar di mana lokasi mayat Nazrin Hassan ditemukan adalah berpadanan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) Nazrin.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari mengatakan pegawai forensik mengkaji percikan darah Bukit Aman, Asisten Superintenden, Mohd. Nizam Husain (saksi pendakwaan ke-39) telah mengesahkan kesan darah yang dijumpai di dinding tempat kejadian adalah konsisten dengan kesan terkena objek tumpul dan bukan kesan tembakan mahupun letupan.
Sementara peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam penggulungan hujahannya menyatakan, penemuan percikan darah pada dinding di atas kepala katil adalah sesuatu yang pelik dan boleh dianggap `telah diletakkan’ di tempat tersebut.
“Daripada beberapa percikan, hanya tiga sahaja yang dikatakan mempunyai DNA Nazrin yang mana dua daripadanya adalah diragui. Salah satu daripadanya mempunyai campuran DNA Nazrin dan individu yang tidak dikenali. DNA individu tidak dikenali itu tidak sepadan dengan kesemua tertuduh,” ujar Muhammad Shafee.
Tambahnya, berdasarkan keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah, adalah jelas kematian Nazrin adalah sesuatu yang tidak disengajakan dan bukannya satu pembunuhan.
Sehubungan itu, peguam terbabit memohon agar Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga anak guamnya.
Untuk info perbicaraan kes bunuh itu bermula pada 6 September 2019. Pada 14 Februari 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki dan Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng .
Mengikut pertuduhan, Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga pukul 4 pagi 14 Jun 2018.
Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga responden selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 49, dan dua remaja berusia 18 dan 21 tahun berkenaan.
Kemudian pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source