HAJATNYA mahu bawa muzik Malaysia ke negara orang, mempamer keunikan negara buat tatapan orang asing.
Awang Samrow mendapat peluang untuk berbuat demikian April ini. Mereka mendapat jemputan untuk memperaga bakat di Tokyo Beyond Showcase Festival, sebuah festival muzik berkonsepkan pameran yang akan dihadiri ejen tempahan, penganjur festival, syarikat rakaman dan artis independen dari seluruh dunia.
Namun, jemputan tersebut perlu dibiaya sendiri. Itu cabaran yang perlu diatasi Awang Samrow bersama pasukannya.
17 Januari lalu dia membuat pengumuman di Instagram. Dia perlu kumpul RM33,000 untuk biaya keseluruhan ke Jepun.
JUAL IDENTITI
Saya bertemu Awang Samrow untuk mengetahui sendiri segala perincian pengumpulan dana awam tersebut.
Menurutnya, peluang untuk ke Tokyo hadir selepas dia menjadi antara artis paling menyerlah dalam AXEAN Festival – juga festival muzik berkonsepkan pameran – yang diadakan di Singapura pada Oktober lalu.
Mungkin kerana keunikan dia menyerlah. Awang Samrow sebuah projek muzik yang berinspirasikan pop 70-an dan direncah lirik dialek Terengganu.
Itu keunikan utama selain fesyen dan gaya persembahan yang flamboyan. Awang Samrow menggelar muziknya sebagai Terengganu New Wave Chant.
Dia benar-benar mahu bawa identitinya itu – yang juga boleh dikongsi ramai rakyat Terengganu dan Malaysia – ke mata dunia.
“Walaupun ramai tak faham apa aku nyanyi sebab lirik dalam dialek Terengganu, banyak lagu aku ada hook yang orang boleh nyanyi sekali. Mungkin itu yang tarik perhatian.
“Aku nak cuba pasarkan keunikan kita. K-Pop pun ramai yang tak faham bahasa dia tapi boleh popular.
“Mana tahu, ini boleh cipta gelombang baharu yang angkat (identiti) Terengganu,” katanya.
BERIKHTIAR
Pengumpulan dana awam bukan satu-satunya ikhtiar Awang untuk membiaya perjalanannya ke Jepun. Dia sedar jumlah yang besar itu sukar dikumpul tetapi dia mahu berusaha, sekurang-kurangnya untuk dapat wang yang cukup untuk kos penerbangan.
“Aku akan lancarkan album sulung dalam bentuk fizikal supaya boleh jual untuk ke Jepun. Lagu semua dah siap, cuma tinggal nak cetak.
“Aku ada rancangan juga untuk busking di (stesen) LRT atau mana-mana tempat. Pacak bunting (banner) beritahu ini untuk kumpul dana ke Jepun,” katanya yang tak mahu berharap sepenuhnya pada kutipan dana awam.
Malah, sebuah acara istimewa juga akan diadakan pada 9 Mac ini dengan kerjasama ruang acara, Live Fact di Kota Damansara.
Jualan tiket acara tersebut akan digunakan untuk membiaya perjalanan Awang Samrow ke Jepun.
“Kalaulah duit yang dikumpul itu nanti tak cukup, kami akan guna duit yang ada untuk persembahan percuma sebagai tanda terima kasih kepada yang menyumbang. Sebab kalau nak pulangkan pun susah, tak tahu siapa yang sumbang.
“Sekurang-kurangnya kami perlu dapat cukup untuk tiket penerbangan. Kalau tak dapat capai jumlah itu, maknanya kami gagal untuk ke Jepun,” katanya.
CERITA POK SENAHU
Awang Samrow mempercepat proses penerbitan albumnya untuk membiayai kembara ke Jepun.
Ia dijangka dilancarkan dalam tempoh sebulan atau dua ini supaya versi fizikalnya boleh dijual segera.
Album tersebut, kata Awang Samrow, akan bercerita tentang seorang lelaki yang digelar Pok Senahu – gelaran orang Terengganu kepada mereka yang serba tahu apabila bersembang, semua topik dia mahu beri pendapat.
“Maksudnya negatif di Terengganu tapi aku nak beritahu kebaikan Pok Senahu, bukan buruknya saja.
“Mungkin kau tak tahu tentang motor tapi nak sembang juga tentang motor, nak senahu. Tapi mungkin balik kau belajar semula pasal motor sebab kau nak bersembang dengan orang.
“Jadi, album ini aku buat untuk orang nak cari tujuan hidup, kau kena ada (sifat) Pok Senahu dalam diri. Kalau tak, kau tak mencari,” jelasnya.
Walaupun mengambil contoh yang agak peribadi tentang gelaran yang spesifik diberikan oleh orang Terengganu, ia tidak menghalang Awang Samrow membawa mesej-mesej yang universal dalam album tersebut.
Tentang kembara manusia mencari makna, mimpi-mimpi yang ingin dicapai, semuanya akan ada dimuatkan dalam album tersebut.
Pok Senahu juga, kalau mahu diantarabangsakan, merujuk kepada ekspresi jack of all trade, master of none yang popular di seluruh dunia. Saya sendiri pernah membaca beberapa artikel serius tentang ekspresi tersebut.
Awang Samrow sudah memasuki gelanggang baharu dalam kerjaya muziknya. Dia kini berpeluang menjual jenamanya di peringkat antarabangsa dan peluang itu boleh direalisasi dengan sokongan orang ramai.
Kita semua ada peluang untuk menghantar Pok Senahu ke Jepun. Cari Awang Samrow di media sosial untuk ketahui cara menyumbang.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source