Terlampau ghairah punca Aaron-Wooi Yik tumbang
KUALA LUMPUR – Tiada lagi kelibat wakil negara pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 selepas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersingkir di pusingan suku akhir sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tewas kepada juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae menerusi aksi tiga set 21-16, 18-21, 13-21.
Aaron berkata, perasaan terlalu teruja selepas memenangi set pertama memakan diri apabila mereka mula hilang fokus dan gagal mengekalkan aksi konsisten di set kedua dan ketiga.
“Saya rasa kita bermula baik pada perlawanan hari ini tetapi mungkin terlampau teruja di set kedua kerana terlalu fikir nak menang. Keadaan itu menyebabkan fokus kami terganggu,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Menerusi keputusan itu, Aaron-Wooi Yik merekodkan kekalahan kedua kepada Min Hyuk-Seung Jae dalam tiga pertemuan dengan aksi terdahulu pada Terbuka China September lepas memihak kepada beregu negara.
Meskipun tewas, namun Aaron-Wooi Yik sudah memperbaiki pencapaian musim lalu yang menyaksikan mereka tersingkir di pusingan kedua selepas tewas 10-21, 21-23 kepada pemain China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.
Sementara itu, Wooi Yik pula menganggap kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan hampir sama, namun Korea mendapat lebih keyakinan, terutamanya selepas berjaya mendapatkan mata ke-11 di set ketiga.
“Sebenarnya corak permainan kami hampir sama dengan melakukan pertukaran (posisi). Selepas ‘interval’ di set ketiga, kami gagal untuk mempertahankan mata yang diraih sehingga menyebabkan mereka beraksi dengan yakin dan mengawal permainan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source