Konsert Wings The Rock Emperor-Kuala Lumpur Chapter Penutup yang membanggakan
KEMAMPUAN menghimpunkan 9,000 penonton untuk menyaksikan sebuah konsert kumpulan rock tempatan bukanlah perkara mudah, namun Wings berjaya melakukannya.
Bukan kerana persembahan mereka hadir setahun sekali, tetapi itulah aura yang dimiliki oleh Awie dan anggotanya.
Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter yang berlangsung di Stadium Malawati Disember lalu telah membuktikan segalanya.
Walau rata-rata anggota sudah berusia lebih separuh abad namun stamina dan tenaga yang dipamerkan amat memukau apatah lagi berjaya mempersembahkan lebih 20 lagu tanpa henti.
Konsert mega yang berdurasi lebih tiga jam itu dilihat cukup sarat dengan lagu-lagu evergreen mereka, terutamanya apabila Awie mengalunkan karya-karya terbaik Wings bermula album Belenggu Irama sehingga ke Bazooka Penaka yang membuatkan penonton tidak senang duduk dan turut menyanyi bersama.
SEGMEN KHAS WARNAKAN PERSEMBAHAN
WINGS yang bertapak hampir empat dekad lamanya berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menjadikan Stadium Malawati Shah Alam sebagai ‘penutup tirai 2023 di semenanjung yang membanggakan’ sebelum ke edisi seterusnya di utara semenanjung pada Februari ini.
Walaupun pada awalnya Wings berhasrat untuk menjemput tetamu undangan sebagai pembuka pentas mereka pada konsert malam itu namun cadangan tersebut terpaksa dibatalkan pada saat akhir apabila Awie berpendapat jika perkara tersebut ditunaikan pasti akan mengundang kesulitan.
“Kita orang cancel sebab set list yang ada pun dah gila. Kalau saya masukkan sesuatu yang berbeza saya pasti akan mengganggu perjalanan pasukan teknikal nanti. Saya pun berkali-kali tanya rakan-rakan lain sama ada perlu cari atau tak, siapa artis jemputan yang perlu berada di depan untuk memulakan acara ini. Kalau kita buat sebarangan pasti akan mengganggu perjalanan persembahan.
“Kalau ada pun siapa nama yang akan berada di permulaan ini, yang akan membuka acara dengan konsep begini? Jadi, setelah berbincang dan ber kir panjang akhirnya kami ambil keputusan untuk jalan terus. Maknanya tiada artis lain sebagai pembukaan,” ujar Awie.
Wings turut menampilkan sedikit kelainan berbanding konsert terdahulu apabila mencipta sebuah segmen eksklusif dengan memberi penghormatan kepada band rock yang pernah menjadi inspirasi mereka sebelum ini iaitu antaranya, Scorpions, Deep Purple, Cinderella dan Loudness.
BERMURAH HATI
KETIKA peminat menyangkakan lagu Taman Rashidah Utama adalah lagu penutup pada konsert malam itu, namun Awie tetap bermurah hati apabila ‘mengorbankan’ lagi vokalnya dengan menyampaikan empat lagu terakhir iaitu Sejati, Romania, Lipas Kudung dan Harapan apabila melihat penonton masih tidak berganjak dari kerusi masing-masing.
Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter adalah susulan kejayaan persembahan mega dengan konsep sama di Singapura Julai lalu.
Dan pada 24 Februari akan datang Wings sekali lagi akan bertemu peminat di utara semenanjung dalam edisi terbaharu, Wings The Rock Emperor – Penang Chapter pada pukul 9 malam di Spice Arena Penang.
Tahniah kepada Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment yang berjaya menganjurkan konsert gah buat sebuah kumpulan legenda yang telah bertapak hampir separuh abad.
Ironinya, Wings bukan sahaja mampu memukau penonton malah sentiasa memberikan persembahan yang mantap dan membanggakan.
IMBAUAN NOSTALGIA
WALAUPUN agak janggal apabila memainkan empat lagu Inggeris secara berterusan, tetapi bagi peminat yang hadir mereka dapat merasakan inilah imbauan nostalgia yang cukup bermakna apabila dapat mengenang kembali zaman kebangkitan muzik rock di Malaysia terutamanya pada penghujung tahun 80-an yang mana ketika itu kebanyakan kumpulan rock yang mengadakan persembahan pasti akan mendendangkan cover songs dari kumpulan idola dan influence mereka.
Tidak melupakan kegetiran dan kesengsaraan yang dihadapi oleh pejuang dan saudara islam di Palestin, Awie mencuri ruang untuk tampil dengan segmen khas memberi penghormatan kepada mereka dengan bacaan doa dan lagu selawat, Allah Allah Aghisna dendangan asal penghibur dari Indonesia, Nazwa Maulidia.
“Kita amat bertuah kerana dapat teruskan kehidupan bahagia bersama orang tersayang, tetapi dalam bersuka, ada yang berduka dan pergi meninggalkan kita. Ada saudara kita yang sedang berjuang di sana.
“Izinkan kami untuk hadiahkan lagu buat pejuang di Palestin. Izinkan kami sama mendoakan mereka agar terlerai semua kekalutan. Marilah kita bersama-sama menyanyikan lagu ini. Kepada yang bukan Islam, hadirkan niat yang baik untuk semua,” kata Awie dengan nada sebak.
Mempersembahkan lebih 20 lagu melalui album-album hits mereka terdahulu seperti Jerangkap Samar, Bernafas Dalam Lumpur, Gemuruh, Ingatkan Dia, Awang Trasher, Rantai, Misteri Mimpi Syakila, Taman Rashidah Utama dan sebagainya amat tidak mengecewakan kerana karya inilah yang selama ini mengangkat nama Wings dan terus melekat di hati peminat.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source