Tanggung hutang RM200,000 sampai 2029 terjerat skim pelaburan
KUALA TERENGGANU – Seorang guru berputih mata apabila wang berjumlah lebih RM200,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan didakwa patuh syariah empat tahun lalu
Lebih malang lagi, mangsa yang mahu dikenali sebagai Hashim, 51, berkata, sehingga kini dia masih menanggung pinjaman peribadi yang dibuat semata-mata untuk menyertai skim tersebut pada 2019.
Menceritakan semula kejadian itu, Hashim berkata, pada mulanya, dia menyertai skim pelaburan itu selepas tertarik dengan keuntungan sehingga 20 peratus yang dijanjikan menerusi Facebook.
“Tambah menyakinkan saya, pelaburan itu dikatakan patuh syariah dan diuruskan organisasi yang diterajui orang alim,” katanya di sini baru-baru ini.
Hashim seterusnya menghubungi dan bertemu dengan penganjur. Keyakinan untuk menyertai skim itu bertambah selepas melihat pesona yang dimiliki individu terbabit.
“Penampilannya begitu meyakinkan seperti orang beragama dan penerangan tentang skim pelaburan tersebut juga diselang-seli dengan ayat-ayat al-Quran dan kisah-kisah nabi.
“Tanpa berfikir panjang, saya mengeluarkan sebahagian wang simpanan untuk menyertai skim pelaburan itu kononnya sebagai jihad ke arah ekonomi Islam,” katanya.
Hashim berkata, pada mulanya, dia mendapat keuntungan pada bulan pertama menyebabkan dia membuat keputusan membuat pinjaman peribadi sebanyak RM200,000 bagi menggandakan nilai pelaburan.
“Begitupun, dividen yang saya terima makin lama makin berkurangan dan selepas itu tiada. Kebetulan tidak lama selepas itu, dunia dilanda Covid-19. Puas saya hubungi penganjur, mula-mula dia berdalih sebelum menghilangkan diri. Nombor telefon dan akaun media sosial saya juga disekat,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan Hashim terpaksa menanggung hutang pinjaman sehingga tahun 2029.
Sementara itu, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Umar, 62, berkata, dia kerugian hampir RM20,000 selepas terjebak dengan skim pelaburan palsu pada 2021 kerana tertarik dengan tawaran patuh syariah.
“Saya menggunakan sebahagian wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur. Tujuan asal untuk menggandakan wang selepas bersara,” katanya.
Umar berkata, pada mulanya, dia menerima pulangan sebanyak RM500 setiap bulan dalam tempoh setahun. Keuntungan yang diperoleh itu bagaimanapun terhenti secara tiba-tiba tanpa sebarang penjelasan.
“Penganjur skim pelaburan itu memberi pelbagai alasan termasuk hujah agama dengan meminta saya supaya bersabar. Sekarang mereka menyepikan diri dan wang KWSP saya juga lebur begitu sahaja,” katanya.
The post Tanggung hutang RM200,000 sampai 2029 terjerat skim pelaburan appeared first on Kosmo Digital.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source