Isu Palestin: Pemuda UMNO harap kerajaan lebih lantang
JOHOR BAHRU: Pemuda UMNO berharap kerajaan akan lebih lantang bersuara tentang isu berkaitan Islam, khususnya penindasan terhadap rakyat Palestin pada masa akan datang.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah yakin pentadbiran kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus bersuara mengecam tindakan kejam rejim Zionis itu.
“Jika kita lihat, setiap tahun ketika tibanya bulan Ramadan, bumi Palestin diserang oleh rejim Zionis, seperti tiada kesudahan dan sebab itulah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kena mengambil peranan yang cukup kuat dan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar lantang bersuara berkenaan hal ini.
“Saya mahu lihat Malaysia kembali gah seperti dahulu dan berani untuk ke hadapan menyuarakan pandangan serta mengecam kekejaman rejim Zionis ini,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bakul Kasih Ramadan kepada pelajar Kolej Kemahiran Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ), Abu Bakar Mohamed Salleh.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengesahkan menerima memorandum yang mengecam rejim Zionis daripada Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Malah, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada sayap parti berkenaan yang sentiasa cakna dengan isu tersebut dan mengulangi pendirian tetap kerajaan menentang keras sebarang keganasan dan kekejaman rejim Zionis yang seperti tiada kesudahan.
Rabu lalu, askar Israel menceroboh dan menyerang jemaah di Masjid Al-Aqsa, sekali gus menyaksikan pasukan keselamatan rejim Zionis bertindak keterlaluan memukul dan menahan 400 jemaah konon dianggap sebagai pemberontak.
Susulan kejadian itu, kerajaan Malaysia dan beberapa negara Islam serta OIC mengecam tindakan berkenaan yang tiada belas ihsan.
Dalam pada itu, Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, pendekatan yang diambil sayap parti itu cukup berani dalam menyatakan pendirian serta mengutuk tindakan tentera Israel.
“Ini adalah satu pendekatan yang cukup berbeza, bukan hanya bersuara atau membuat kenyataan media, kita melakukan himpunan aman di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Luar. Kita berharap langkah ini tidak terhenti di sini dan mengikuti rapat perkembangan semasa dan meneruskan usaha memperjuangkan nasib rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source