Mereka dibakar ketika masih bernafas
ALOR SETAR – Bapa kepada pemuda yang rentung dalam kebakaran rumah di Tongkang Yard di sini pada Selasa lalu menyifatkan pelaku kes itu sebagai kejam kerana sanggup membunuh anaknya hanya kerana telefon bimbit.
Mohd. Zaini Hashim, 63, berkata, laporan bedah siasat menunjukkan anaknya, Muhammad Muslim, 23, masih bernafas sebelum terbakar dan rentung.
Kejadian menyayat hati pada pukul 5.45 pagi itu turut meragut nyawa bapa angkat Muslim, Ibrahim Mydin, 61.
“Saya tidak dapat menerima menerima perbuatan kejam suspek yang sanggup membakar rumah sehingga mengorbankan anak saya (Muslim) dan bapa angkatnya.
“Perbuatan menyimbah petrol dan membakar itu memang kejam. Hanya kerana telefon dua nyawa terkorban,” katanya ketika ditemui semalam.
Lebih memilukan, Mohd. Zaini sempat bertemu dan berbual dengan anak bongsu daripada lima beradik tersebut yang mesra dipanggil Lim sehari sebelum kejadian.
“Saya jumpa dia dalam keadaan elok (bernyawa), esoknya hanya nampak mayat rentung,” katanya.
Difahamkan, suspek memasuki rumah mangsa dengan menggunakan kunci pendua sebelum mencurahkan petrol ke atas warga emas itu yang dipercayai sedang tidur di tingkat atas lalu membakarnya.
Suspek kemudian berlari keluar sebelum mengunci pintu dan membuang kunci tersebut.
Cerita Mohd. Zaini, arwah Ibrahim selalu memberi suspek makanan semasa hayatnya.
Katanya, dia tidak mengenali kelima-lima suspek termasuk ahli keluarga terdekat Ibrahim yang diberkas tidak sampai 24 jam selepas kejadian.
“Apapun saya serahkan siasatan kes ini kepada pihak polis dan undang-undang. Saya berdoa supaya urusan menuntut dan mengebumikan jenazah anak berjalan lancar.
“Insya-Allah jika semua selesai, jenazah anak saya akan dikebumikan di Masjid As-Salam Tambak Bunga, Kuala Kedah. Cuma setakat ini, polis belum mengesahkan mayat rentung itu adalah anak saya.
“Tetapi saya yakin ia memang Muslim sebab ada ‘bangle’ (rantai tangan lelaki), rantai dan cincin yang dipakai sehari sebelum kejadian,” katanya.
Jelas Mohd. Zaini, dia juga dapat mengecam mayat itu adalah anak lelakinya berdasarkan raut wajah Muslim.
“Naluri saya kuat mengatakan mayat rentung itu adalah Lim (Muslim),” katanya.
Tambahnya, dia turut dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini untuk membantu pihak polis melengkapkan siasatan kes bunuh itu.
“Keluarga juga mengadakan tahlil untuk arwah Lim. Mudah-mudahan jenazah anak saya dapat dituntut segera,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan siasatan kes kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard yang mengorbankan dua nyawa memasuki episod baharu selepas polis mengklasifikasi kes itu sebagai bunuh.
Polis kemudian menahan lima lelaki berusia 19 hingga 53 tahun termasuk warga Myanmar. Tangkapan pertama melibatkan suspek berusia 29 tahun yang juga keluarga terdekat Ibrahim.
Motif kejadian akibat dendam. Siasatan mendapati mangsa membuat laporan telefon bimbitnya dicuri sehari sebelum kejadian, manakala mangsa menarik balik laporan selepas suspek serahkan semula barangan itu. -KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source