Terkejut tengok berita, tak sangka keluarga terlibat kemalangan – Sepupu Fadzlenna
BANGI – “Malam itu saya memang ada tengok di media sosial, dekat TikTok Kosmo! Online, teruk nahas ini (kemalangan), tak sangka rupanya keluarga sendiri terlibat.”
Itulah luahan sepupu kepada salah seorang mangsa maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Melaka semalam, Fadzlenna Ramli,32, iaitu Mohammad Aqiff Abdul Halim, 29.
Menurut Mohammad Aqiff, dia tidak menyangka mangsa yang maut dalam kemalangan tragis itu adalah sepupunya sendiri sehinggalah mendapat pengesahan daripada ahli keluarga lain.
“Awalnya, tak sangka pula keluarga sendiri yang terlibat. Dalam pukul 5 pagi tadi, mak saya ada hubungi dan maklumkan tentang perkhabaran tersebut. Sedihlah.
“Lepas ini akan ada sebahagian keluarga balik ke Melaka untuk dapat perkembangan anak sedara (Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4,),” katanya ketika ditemui Kosmo! di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi (Sungai Tangkas), di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi sepupu kepada Allahyarham Fadzlenna, Mohammad Aliff Abdul Halim, 30, menyifatkan wanita itu sebagai seorang yang baik, lemah lembut dan sangat disenangi oleh ahli keluarga.
Mohammad Aliff berkata, perjumpaan semasa sambutan hari raya yang lalu menjadi kenangan terakhir mereka bersua termasuklah anak bongsu Allahyarham, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi pengebumian jenazah lima sekeluarga yang terbabit dalam nahas di Melaka iaitu Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan isteri Fadzlenna serta anak mereka, Muhammad Umar, 2, selamat dikebumi kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
Jenazah Fadzlenna dikebumikan bersama anaknya, Muhammad Umar dalam satu liang lahad dan dua lagi jenazah adalah ibu bapa Fadzlenna, iaitu Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
Khairul Ikhwan dan Fadzlenna meninggalkan dua lagi anak mereka iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, dan Nur Sofea Humaira, 4, yang kini sedang dirawat di Hospital Melaka.
Semalam, Kosmo! Online malaporkan tujuh termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 cedera dalam kemalangan kira-kira pukul 8.40 malam membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dari Ayer Keroh ke Simpang Ampat, Melaka.
Siasatan awal mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah menyebabkan ia hilang kawalan lalu
terbabas ke laluan bertentangan.
Bas itu kemudian bertembung dengan tiga kenderaan hingga menyebabkan lima mangsa dalam Toyota Estima serta seorang pemandu bas dan penumpang bas meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source