Operasi SAR cari dua pemuda hilang di laut dihentikan
BALIK PULAU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari dua pemuda yang dilaporkan hilang di perairan Pantai Keracut, Kuala Sungai Pinang sejak Selasa lalu telah dihentikan hari ini selepas lima hari operasi dijalankan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, operasi SAR itu telah meliputi sehingga 4,802 batu nautika bersamaan 8,884 kilometer persegi namun sehingga kini tiada petunjuk dijumpai.
“Semua elemen dan aset daripada agensi-agensi terlibat antaranya Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Udara Maritim dan bot telah digunakan.
“Selain itu, kita juga mendapat bantuan daripada nelayan dari Kuala Sungai Pinang dan Teluk Bahang, namun kami tidak menjumpai sebarang petunjuk, jadi kita memutuskan untuk menamatkan operasi SAR pada hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR tersebut disertai 90 pegawai dan anggota daripada polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan.
“Operasi SAR berjalan lancar sepanjang lima hari berikutan keadaan cuaca yang baik. Tiada halangan cuaca atau ombak mahu pun ribut sepanjang operasi dijalankan,” katanya.
Sazalee berkata, bot tersebut disewa daripada orang persendirian dan tidak mempunyai nombor pendaftaran dengan persatuan nelayan.
Dalam pada itu, katanya, walaupun operasi SAR dihentikan, pihak Maritim Malaysia (APMM) akan terus menjalankan pencarian kedua-dua mangsa tersebut dalam rondaan rutin mereka.
“Usaha-usaha mencari akan diteruskan oleh Maritim Malaysia dengan bantuan nelayan, dengan harapan mangsa dapat ditemui.
“Kedua-dua mangsa yang menaiki sebuah bot dipercayai dihanyutkan oleh arus deras ke sebelah utara,” katanya.
Tambah Sazalee, pihak polis akan mendapatkan bantuan daripada negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia untuk mengesan mangsa memandangkan tiada sebarang petunjuk akan penemuan mereka serta peralatan bot yang hanyut. -KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source