Pernah berbincang dengan PKR tetapi tiada perbincangan jawatan – Tengku Zafrul
PETALING JAYA – “Saya pernah ada berbincang (perbincangan awal) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Saya ingin tegaskan, tidak ada perbincangan jawatan di peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil.”
Itu tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menjawab spekulasi bahawa dirinya akan meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jelasnya, beliau belum membuat apa-apa keputusan lagi dan akan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti kerana menyifatkan dirinya merupakan individu yang akan bertindak dengan penuh adab sekiranya ada (keputusan).
“Walau apa pun, saya tiada membuat apa-apa keputusan lagi.
“Saya berpegang kepada prinsip, apabila saya membuat sesuatu keputusan sudah tentu saya akan membuatnya dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya,” katanya menerusi kenyataan di X.
Tengku Zafrul berkata, beliau amat terkejut dengan perkembangan kenyataan kepimpinan tentang perkara berkenaan, tambahan dirinya tidak menerima sebarang panggilan daripada pucuk pimpinan UMNO untuk bertanyakan isu sebenar sejak isu itu mula diketengahkan.
“Sebenarnya, saya tiada membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti, walaupun seperti yang telah disebut oleh Perdana Menteri, pernah ada perbincangan tentang perkara ini dengan pihak yang berkaitan.
“Hakikatnya, saya telah meninggalkan dunia korporat untuk menjadi anggota pentadbiran kerajaan.
“Saya lakukan ini kerana saya yakin ianya merupakan landasan kerjaya yang mampu menyediakan ruang dan peluang untuk saya berkhidmat kepada rakyat serta menyumbang kepada agenda pembangunan negara secara langsung,” ujarnya.
Tambahnya lagi, beliau merupakan anggota satu pasukan yang sedang dan akan terus melaksanakan dasar-dasar terbaik untuk rakyat.
“Saya juga percaya dan yakin khemah besar Kerajaan Perpaduan yang telah dibina selama ini mempunyai semangat kerjasama utuh dan toleransi tinggi.
“Kerajaan yang mampu menerima perbezaan pandangan dan pendapat dalam kalangan parti komponen, tanpa mengganggu gugat objektif utama iaitu mengemudi negara ke arah kesejahteraan yang terbaik buat rakyat.
“Bagi saya, yang penting kita fokus tentang dasar untuk rakyat, berdasarkan politik membina dan bukan menghancurkan,” tegasnya lagi.
Jelas Tengku Zafrul, dalam melaksanakan tanggungjawab dan komitmennya sebagai anggota pentadbiran kerajaan, wadah perjuangan politik beliau tertumpu kepada keperluan melaksanakan tugasan dengan baik bagi manfaat rakyat.
Katanya, beliau juga percaya bahawa hak individu memilih landasan perjuangan merupakan hak asasi dan mutlak kerana tanpa keserasian, mustahil seseorang individu itu memberi perkhidmatan terbaik.
Saya juga percaya bahawa hak individu untuk memilih landasan perjuangan merupakan hak asasi dan mutlak kerana tanpa keserasian mustahil untuk seseorang individu itu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.
“Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda ‘cah keting’ dan sebagainya terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat serta negara.
“Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks UMNO Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu UMNO Selangor,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source