Duda jadi individu pertama dihukum sebat di khalayak ramai kerana berkhalwat
KUALA TERENGGANU: Seorang duda berusia 42 tahun menjadi individu pertama di Terengganu dijatuhkan hukuman enam sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid kerana kesalahan khalwat berulang di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.
Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Hakim memerintahkan hukuman ke atas Mohd. Affendi yang merupakan seorang tukang rumah dari Kerteh, Kemaman dilaksanakan di Masjid Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, selepas solat Jumaat pada 6 Disember depan.
Duda yang mempunyai lima orang anak berusia 16 hingga 21 tahun itu juga dikenakan denda RM4,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Berdasarkan enakmen itu, kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman sebat hingga enam kali, denda hingga RM5,000 atau penjara tiga tahun.
Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Affendi menjalani hukuman sebat dalam tempoh 14 hari jika tertuduh tidak mengemukakan rayuan.
Tertuduh ditangkap khalwat bersama pasangannya seorang wanita berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Ranggon, Kerteh, Kemaman pada pukul 1.40 pagi, 16 Jun lalu.
Untuk rekod, pada 19 Februari itu, Mohd. Affendi juga menjadi pesalah khalwat pertama yang dijatuhi hukuman empat sebatan di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut enakmen tersebut.
Sebelum itu, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.
Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakiman berkata, dalam menjatuhkan apa-apa hukuman, matlamat utama dalam syariat dan daripada segi agama adalah memberi pengajaran, pendidikan dan sebagainya.
Menurutnya, hukuman tersebut merupakan suatu pencegahan supaya perkara yang sama tidak berulang khususnya ke atas tertuduh dan juga sebagai peringatan pencegahan ke atas orang awam secara amnya.
“Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama sebanyak dua kali. Kamu (Mohd. Affendi) pernah disebat dan dipenjara tetapi buat lagi (berkhalwat).
“Hukuman kali pertama (sebatan kerana khalwat) sepatutnya sudah memberi keinsafan,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source