Malaysia terima baik prinsip perkongsian masa hadapan diutarakan China
PETALING JAYA – Perdana Menteri mengulangi pendirian Malaysia yang menerima baik prinsip perkongsian masa hadapan yang diutarakan oleh Presiden China, Xi Jinping sebelum ini, yang menekankan soal perkongsian kemakmuran untuk manfaat setiap individu dan negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip itu menjadi antara asas penting mengapa Malaysia memilih menyertai pakatan BRICS.
“Dalam soal ini, saya menzahirkan penghargaan tertinggi atas sokongan China terhadap penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS.
“Terkait kerjasama Malaysia-China, saya nyatakan sikap Malaysia yang terus terbuka dan mengalu-alukan kerjasama strategik dan lebih banyak pelaburan terkait teknologi berkualiti tinggi, ekonomi digital, pendidikan serta dalam sektor-sektor berkemahiran tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pertemuan dua hala yang diadakan dengan Premier Li Qiang petang semalam, di mana kesempatan itu juga digunakan untuk memperkukuh hubungan persahabatan kedua-dua negara yang kini mencecah usia 50 tahun.
Dalam itu Anwar berkata, Malaysia juga mahu mempertingkatkan hubungan perdagangan terutama membabitkan produk halal, sektor pertanian komoditi dan menggalakkan pertukaran kepakaran serta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Saya turut nyatakan bahawa Malaysia berkongsi keutamaan dalam beberapa dasar yang dilaksanakan, terutama dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar, memartabatkan kehidupan rakyat dan mencapai pembangunan mampan.
“Malaysia punyai ruang belajar daripada kejayaan China dalam lingkungan ini menerusi kerjasama dengan China International Development Cooperation Agency (CIDCA) dan International Poverty Reduction Centre (IPRCC),” katanya.
Usai pertemuan itu, Anwar dan Premier Li menyaksikan pertukaran dokumen terkait Belt and Road Initiative (BRI) serta pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara BERNAMA dan China Media Group (CMG).
“Alhamdulillah, pertemuan ini telah mempererat hubungan peribadi antara saya dan Premier Li, dan memperkukuh persahabatan Malaysia-China yang pastinya akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara, Insya-Allah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source