PM Thai minta maaf tragedi Tak Bai
BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra menyatakan kekesalan dan memohon maaf berhubung tragedi pembunuhan beramai-ramai Tak Bai 20 tahun lalu ketika beliau berucap kepada media di Rumah Kerajaan semalam seperti laporan akhbar The Nation.
Had tempoh kes tersebut yang menyaksikan berpuluh-puluh tahanan di wilayah Narathiwat terbunuh tamat hari ini.
“Insiden ini berlaku 20 tahun lalu dan saya telah menyemak pelbagai butiran berkaitan kes ini. Ia adalah peristiwa amat menyedihkan dan saya bersimpati dengan semua yang terkesan.
“Kerajaan berulang kali sejak 20 tahun lalu menyatakan kekesalan dan memohon maaf, sama ada pentadbiran Thaksin Shinawatra atau Jeneral Surayud Chulanont, serta bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra. Pampasan dan ganti rugi juga telah disediakan.
“Sebagai Perdana Menteri sekarang, saya amat kesal dengan peristiwa ini dan bagi pihak kerajaan, saya memohon maaf dengan tulus ikhlas. Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan insiden serupa tidak berulang.
“Mengenai isu undang-undang, kami tidak mengelak daripada mengambil tindakan. Kami telah mengemukakan kes ini kepada Majlis Negara awal Oktober 2024,” katanya.
Paetongtarn mengakhiri ucapannya dengan berkata: “Akhirnya, saya menggesa semua orang untuk mengesahkan keganasan ini berlaku dan sama-sama mengelakkan ia daripada berulang. Kita mesti berusaha untuk keamanan dan mengelakkan konflik selanjutnya. Saya meminta semua orang untuk melakukan yang terbaik dan kerajaan akan terus lakukan perkara sama.”
Pada 25 Oktober 2004, kira-kira 1,500 penunjuk perasaan berkumpul di hadapan balai polis Tak Bai untuk membantah penahanan enam lelaki Islam.
Polis bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan meriam air. Ketika ketegangan semakin memuncak, polis melepaskan tembakan ke udara dan kemudian ke arah orang ramai, menyebabkan tujuh orang terbunuh.
Penunjuk perasaan yang ditahan pula dihumban dan ditindan di dalam beberapa trak tentera seterusnya diangkut ke Kem Tentera Inkayut, wilayah Pattani. Pada penghujung pemanduan selama lima jam itu, 78 tahanan mati akibat akibat sesak nafas. – AGENSI
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source