Malaysia yakin cemerlang di Piala Dunia Hoki Masters
KUALA LUMPUR – Skuad hoki atas 40 tahun (40’s) negara bersemangat tinggi untuk mencapai sasaran empat teratas pada penampilan Piala Dunia Hoki Masters 2024 berlangsung di Cape Town, Afrika Selatan dari 12 hingga 21 Oktober ini.
Sandaran terletak di bahu enam bekas pemain kebangsaan yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa seperti pasangan adik beradik, Jiwa dan Jivan Mohan yang pernah mengecapi pencapaian bersama Speedy Tigers.
Jiwa selaku kapten pasukan kali ini dan Jivan yang kini berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah meraih pingat gangsa Sukan Komanwel 2006 di Melbourne, Australia dan tempat ketiga Piala Asia 2007.
Bagi Jiwa, pasukan mereka yang akan bersaing dalam kategori peringkat umur 40 hingga 44 tahun, kini dilihat berada dalam keadaan lebih baik berbanding edisi sebelumnya di Nottingham, England pada 2022 di mana Malaysia menamatkan saingan di tempat keenam daripada 14 pasukan.
“Sasaran kami kali ini adalah untuk mencapai top 4. Dua tahun lepas kami di Nottingham, kami berjaya menduduki tempat keenam, jadi kali ini kami mahu memperbaiki pencapaian tersebut,” katanya kepada Kosmo! pada sesi latihan di Stadium Hoki KPM, Lembah Pantai sebentar tadi.
Kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turun padang meluangkan masa bertemu pemain dan melihat sesi latihan secara tidak langsungkan melonjakkan motivasi pasukan hoki 40’s untuk menempa kejayaan di bumi Afrika Selatan nanti.
Mengulas mengenai persiapan pasukan, Jiwa menekankan bahawa pasukan telah berlatih secara konsisten selama setahun meskipun para pemain merupakan daripada golongan yang bekerja sepenuh masa.
“Walaupun semua pemain bekerja, kami tetap menjalani latihan tiga hingga empat kali sebulan sepanjang tahun lepas. Tiada pemain yang mengalami kecederaan dan semuanya dalam keadaan cergas serta bersedia,” tambahnya.
Skuad negara akan bersaing dalam kumpulan yang agak mencabar selepas dijadualkan berdepan Jerman, Kenya dan Singapura pada peringkat kumpulan, namun yakin mempunyai peluang untuk memberi saingan sengit.
“Jerman memang salah satu pasukan yang paling bagus tetapi kami juga mampu memberikan saingan. Jika kami berjaya melepasi peringkat kumpulan dan mara ke suku akhir, saya yakin kami boleh mencabar pasukan-pasukan lain,” jelas Jiwa.
Negara seperti Australia dan England juga dijangka memberikan cabaran besar kepada Malaysia, namun Jiwa tetap optimis dengan peluang pasukan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source