Salah guna dadah meningkat 90 peratus
PETALING JAYA: Kes penyalahgunaan dadah di negara ini semakin serius apabila berlaku peningkatan sehingga 90 peratus bagi tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tahun lalu.
Mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 96,054 kes penyalahgunaan dadah direkodkan di seluruh negara dalam tempoh itu pada tahun ini berbanding 50,476 kes tahun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, sejak Januari hingga Julai lalu, sejumlah 95,914 tangkapan dilakukan terhadap individu dikesan positif dadah.
“Peningkatan kes dan tangkapan sehingga 90 peratus ini menunjukkan isu penyalahgunaan dadah di negara ini sangat serius,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kok Chin berkata, jumlah kes penyeludupan dadah bagi tahun ini juga meningkat sehingga tiga peratus berbanding 2023.
“Bagi tujuh bulan pertama tahun ini, sebanyak 12,602 kes penyeludupan dadah berlaku dengan 17,177 tangkapan dibuat. Pada 2023, sejumlah 12,209 kes direkodkan dan 16,623 tangkapan dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, trend penyeludupan dadah menggunakan warga Malaysia sebagai keldai dadah menunjukkan peningkatan ketara dan perlu dipandang serius.
Katanya, sebanyak 452 rakyat Malaysia ditahan di luar negara membabitkan 389 lelaki dan 63 wanita sejak 2018 hingga tahun ini atas kesalahan berkenaan.
“Hampir semua tahanan keldai dadah berusia antara 21 tahun hingga 45 tahun. Trend menggunakan keldai dadah untuk menyeludup dadah ke luar negara adalah antara modus operandi utama selain penyeludupan melalui jalan darat, laut dan udara sama ada pergerakan secara domestik atau antarabangsa,” katanya.
Ujar beliau, ganja, syabu dan heroin merupakan jenis dadah paling banyak dibawa oleh keldai dadah kerana mendapat permintaan tinggi untuk pasaran di luar negara.
Katanya, tawaran upah yang lumayan menjadi antara faktor yang mempengaruhi individu-individu tersebut terpedaya menjadi keldai dadah.
“Mereka mudah terpengaruh dengan kekayaan yang dijanjikan tanpa memikirkan kesan dan akibat kepada diri sendiri sekiranya ditangkap.
“Selain itu, terdapat mangsa keldai dadah yang mudah terpengaruh dengan janji-janji manis seperti menaruh cinta dan barangan mewah ditunjukkan melalui kenalan dalam media sosial khususnya melibatkan golongan wanita dan akhirnya terpedaya dengan mengikut arahan membawa barang terlarang itu sehingga ditahan,” ujarnya. –UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source